Pearly berdebar tunggu keputusan MRI

Pearly (kanan) memegang lututnya yang berasa sakit ketika beraksi pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Osaka minggu lalu. -Foto Agensi.
Pearly (kanan) memegang lututnya yang berasa sakit ketika beraksi pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Osaka minggu lalu. -Foto Agensi.
A
A
A

BERITA melegakan buat peminat badminton negara mengenai tahap kecederaan yang dialami pemain badminton beregu wanita negara, Pearly Tan apabila dia sudah boleh berjalan tanpa bantuan.

Bagaimanapun Pearly memberitahu, bahawa dia perlu menunggu keputusan Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) di lutut kirinya.

Pemain berusia 22 tahun itu mengalami kecederaan ketika dia dan gandingannya, M. Thinaah berdepan wakil Korea Selatan, Baek Ha Na-Le Yu Lim dalam pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Jepun minggu lalu.

Pasangan negara itu terpaksa menarik diri dalam set ketiga selepas Pearly kelihatan mengalami kecederaan lutut serius.

Ia merupakan kali pertama Pearly mengalami kecederaan sebegitu dan bersedia memberikan tumpuan penuh terhadap proses pemulihannya.

"Ia semakin baik kerana saya sudah mula boleh berjalan sendiri tanpa bantuan tetapi perlu menunggu keputusan MRI yang akan dilakukan segera.

"Saya tidak pasti sama ada ia akan memberikan kesan terhadap permainan selepas ini, tetapi saya pasti akan melakukan yang sebaiknya untuk pulih seperti biasa," katanya.

Pearly turut mengimbas insiden itu ketika beraksi menentang pasangan dari Korea Selatan.

Artikel Berkaitan:

"Ketika di kedudukan 14-12, sewaktu melakukan lompatan, saya mendarat dalam keadaan yang tidak betul. Ia menyebabkan saya berasa sakit sehingga tidak dapat bergerak dengan selesa dalam gelanggang.

"Saya tidak pernah rasa kesakitan seperti ini. Ia adalah kali pertama saya cedera di bahagian ini.

"Ahli Fisioterapi beritahu ia mungkin disebabkan kecederaan tendon paha tetapi saya perlu menunggu keputusan MRI," katanya.