[VIDEO] Pas ada bukti hantar jemputan hadiri muktamar

Takiyuddin menunjukkan surat jemputan ke Muktamar Tahunan Pas menerusi telefon pintar miliknya kepada pemberita pada Ahad.
Takiyuddin menunjukkan surat jemputan ke Muktamar Tahunan Pas menerusi telefon pintar miliknya kepada pemberita pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR – Pas mempunyai bukti menghantar surat jemputan kepada pucuk pimpinan UMNO termasuk pimpinan di Kedah untuk menghadiri Muktamar Tahunan Pas kali ke-68 di Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut sejak Sabtu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberitahu, surat jemputan terhadap pimpinan pelbagai parti termasuklah UMNO dan MCA itu dihantar secara fizikal dan secara maya.

Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Alam Sekitar memaklumkan, semua jemputan itu dikeluarkan dengan tarikh maklum balas kehadiran ditetapkan pada 20 Ogos lepas.

"Saya seorang peguam, saya bercakap kalau ada bukti, saya boleh tunjukkan jemputan yang dipanjangkan.

“Saya boleh tunjuk jemputan seperti Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran. Ini buktinya,” katanya sambil menunjukkan surat jemputan menerusi telefon pintar miliknya kepada pemberita pada Ahad.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Penghijauan Malaysia, Kempen Penanaman Pokok bersama Komuniti Kota Sarang Semut sempena Muktamar Tahunan Pas kali ke-68 di Kota Sarang Semut pada Ahad.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kota Bharu itu turut menambah bahawa difahamkan surat jemputan terbabit turut dihantar kepada pimpinan UMNO Kedah di pejabat mereka.

“UMNO Kedah saya difahamkan ada juga dihantar tapi bukan melalui pejabat saya tetapi melalui Pas Kedah,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Takiyuddin berkata, pihaknya juga tidak memiliki masalah sekiranya mereka memilih untuk tidak hadir kerana jemputan itu menggambarkan keterbukaan Pas.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan UMNO Kedah menafikan kenyataan Pas yang mendakwa menjemput parti terbabit menghadiri muktamar tahunan Pas tersebut.

Ia disuarakan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom melalui Facebook bahawa tiada siapa pun dari pihak UMNO termasuklah dirinya sendiri menerima undangan ke acara itu.

Bagaimanapun, Pas Kedah melalui Penolong Setiausaha Pas Kedah, Zulkifli Yahaya Ahad sekali lagi menegaskan bahawa telah mengundang UMNO Kedah dengan menyerahkan jemputan kepada Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Suraya Yaacob ke muktamar terbabit.