Suami isteri diberkas terlibat ugutan bunuh, cabul budak

No Image Caption
A
A
A

AMPANG - Seorang wanita warga Indonesia sanggup melakukan ugutan bunuh semata-mata mahu melindungi suaminya yang didakwa mencabul seorang kanak-kanak perempuan dalam kejadian di Taman Putra Ampang di sini.

Bagaimanapun tindakan wanita tersebut membawa padah apabila dia diberkas bersama suaminya yang merupakan warga Myanmar pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, bapa mangsa telah dimaklumkan oleh anaknya yang berumur 12 tahun itu bahawa suspek yang dikenali cuba merabanya dan mengintainya ketika mandi.

Menurutnya, ibu mangsa juga telah menerima ugutan oleh isteri suspek dengan mengugut untuk membunuh kerana mendakwa mangsa telah mengganggu suspek.

"Suspek didakwa mengganggu mangsa secara fizikal dan mental sejak lebih kurang sebulan yang lepas," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, lokasi kejadian merupakan bilik yang disewa di rumah kedai.

"Siasatan dijalankan turut mendapati bilik mandi yang ada digunakan oleh semua penyewa," katanya.

Mohamad Farouk berkata, siasatan dijalankan kemudian membawa kepada penangkapan pasangan suami isteri warga asing dipercayai terlibat dalam kejadian itu.

Artikel Berkaitan:

"Suspek berumur 35 tahun bekerja sebagai buruh dan wanita berumur 54 tahun bekerja sebagai pembantu kedai.

"Kedua-dua suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan," katanya.