'Saya bukan wira'

Rexy (kiri) meraikan kejayaan Aaron dan Wooi Yik muncul juara dunia di Tokyo Ahad lalu.
Rexy (kiri) meraikan kejayaan Aaron dan Wooi Yik muncul juara dunia di Tokyo Ahad lalu.
A
A
A

NAMA jurulatih skuad badminton negara, Rexy Mainaky kembali menjadi sebutan ramai susulan kejayaan beregu utama lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik muncul juara dunia.

Memikul tugas utama sebagai Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), legenda Indonesia berusia 54 tahun itu membuktikan sentuhannya masih berbisa.

Sebaik kembali ke pangkuan BAM pada penghujung tahun lalu, Rexy membuktikan keupayaannya dengan membimbing Aaron-Wooi Yik muncul juara dunia sehingga beliau kini digelar wira.

Namun, Rexy yang pernah mengecapi gelaran dunia, selain meraih emas Sukan Olimpik ketika bergelar pemain tidak mahu dirinya dianggap sebagai wira atas kejayaan Aaron-Wooi Yik.

Ya, saya berterima kasih kepada seluruh peminat badminton Malaysia atas pujian tersebut tetapi saya bukan wira kerana dalam pasukan, kita ada coaches yang lain dan kami sering bertukar-tukar pandangan.

“Kami juga ada Pengarah Prestasi Tinggi (Dr Tim Jones), selain sentiasa mendapat khidmat sokongan daripada Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) yang sering memantau kondisi pemain.

“Jadi janganlah anggap dan label saya sebagai wira kerana ramai lagi yang menjadi tulang belakang atas kejayaan dicapai Aaron-Wooi Yik di Tokyo baru-baru ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Untuk rekod, Rexy pernah mencipta sensasi bersama Ricky Subagja. Mereka dianggap antara gandingan beregu yang cukup digeruni sekitar tahun 1990-an.

Artikel Berkaitan:

Antara kejayaan terbesar pernah diraih Rexy-Ricky adalah muncul juara dunia di Lausanne, Switzerland pada 1995 dan memenangi emas Sukan Olimpik Atalanta 1996.

Selepas bersara pada 2001, Rexy menumpukan tugas dalam bidang kejurulatihan sebelum dilantik sebagai jurulatih beregu negara dari dari 2005 hingga 2012.

Dalam tempoh tersebut, antara kejayaan manis Rexy adalah berjaya membimbing ‘gandingan emas’ Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong muncul juara Seluruh England 2007.

Tidak sampai setahun kembali bertugas di BAM, Rexy berjaya menaikkan nama Malaysia dengan kejayaan Aaron-Wooi Yik bergelar juara pada Kejohanan Dunia di Tokyo, Jepun, Ahad lalu.

“Sudah tentu kejayaan Aaron-Wooi Yik dan Kien Keat-Boong Heong berbeza. Saya rasa lebih teruja dengan kejayaan Aaaron-Wooi Yik kerana ia merupakan gelaran dunia pertama buat Malaysia.

“Itu bukan bermaksud saya memperkecilkan juara Seluruh England tetapi rasanya gelaran dunia yang julung-julung kali diraih Malaysia membuatkan saya lebih teruja,” ujarnya.