Tiada pemimpin UMNO berunding dengan Pas: Mohamad Hasan

Mohamad menyampaikan ucapan pada program Semarak Merdeka di Taman Jed. - Foto Bernama
Mohamad menyampaikan ucapan pada program Semarak Merdeka di Taman Jed. - Foto Bernama
A
A
A

REMBAU - Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tiada sebarang rundingan oleh mana-mana pemimpin UMNO dengan Pas ketika ini seperti didakwa Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) setakat ini telah membuat keputusan untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

"Tidak tahulah beliau berunding dengan siapa tetapi dengan saya memang tiadalah. Janganlah kita mahu mengadu domba parti orang lain, jaga parti sendiri. Saya jaga parti saya, beliau jaga parti beliau.

"Apa sahaja perundingan, mesti telus, jangan berunding dalam gelap, tidak boleh begitu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Semarak Merdeka di Kuala Sawah, Rantau di sini.

Media hari ini melaporkan Abdul Hadi berkata pintu rundingan antara Pas dan UMNO menerusi Muafakat Nasional sentiasa terbuka dan masih berjalan ketika ini melibatkan pimpinan serta ahli akar umbi kedua-dua parti.

Mohamad berkata beliau juga tidak mengetahui sekiranya Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi mengutuskan mana-mana pemimpin parti itu untuk berunding dengan Pas.

"Jadi tiada pula dengar parti ataupun Presiden pernah bercakap mengutuskan (mana-mana pemimpin parti) mewakili UMNO berunding dengan Pas.

"Setakat hari ini saya tidak tahu, boleh jadi ada tetapi saya tidak tahu. Setakat ini yang saya tahu sebagai Timbalan Presiden, saya tidak pernah dengar Presiden berbuat demikian... mengutus wakil khas untuk berunding,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: