Saya ingat latihan kebakaran, kata KM Pulau Pinang

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pada mulanya beliau sangka loceng kecemasan yang berbunyi di bangunan KOMTAR yang menjadi pusat pejabat kerajaan Pulau Pinang itu, hanyalah satu latihan kebakaran.

Katanya, kejadian itu berlaku ketika baharu 10 minit memulakan mesyuarat mingguan Exco yang beliau pengerusikan di aras 28 pada bangunan 65 tingkat itu dan sebelum dimaklumkan seorang pegawai kanannya yang loceng kecemasan itu adalah betul dan mereka perlu meninggalkan bangunan tersebut.

“Kesemua anggota Exco kecuali tiga yang tidak hadir kerana mereka berada di luar kawasan, diberitahu yang kami perlu menggunakan tangga dari aras 28 untuk turun ke aras bawah,” katanya ketika ditemui wartawan di aras bawah KOMTAR.

Kon Yeow berkata, pada ketika itu tedapat kira-kira 2,000 kakitangan awam bertugas di pelbagai tingkat di bangunan itu dan kerja-kerja pemindahan berjalan dengan lancar dengan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat memeriksa bangunan itu untuk mengenal pasti punca asap tersebut.

“Kami akan menunggu arahan Jabatan Bomba dan Penyelamat memaklumkan keadaan adalah selamat sebelum kami masuk semula ke pejabat,” katanya dan menambah mesyuarat exco hari ini akan ditangguhkan ke satu tarikh lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Kompleks KOMTAR berasap

Sementara itu Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat memberitahu Bernama mereka menerima laporan kebakaran tersebut pada 2.45pm dan satu pasukan yang tiba di bangunan itu lima minit kemudian mendapati koridor di tingkat 3 bangunan itu telah dipenuhi asap.

Katanya, mereka kemudiannya terus mengambil langkah mencari sumber asap tersebut di aras yang menempatkan lapan buah kedai yang ditutup pada ketika itu.

Artikel Berkaitan:

Sehingga 5 petang hari ini, punca asap tersebut masih belum ditemui. - Bernama