Penang FC mahu kemukakan protes

Penyerang KDA FC, Wanja Ronald Ngah (tengah) diasak pertahanan Penang FC pada perlawanan berkenaan. - Foto Facebook Kedah Darul Aman FC
Penyerang KDA FC, Wanja Ronald Ngah (tengah) diasak pertahanan Penang FC pada perlawanan berkenaan. - Foto Facebook Kedah Darul Aman FC
A
A
A

PENANG FC bakal mengemukakan protes terhadap jaringan tunggal Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, pada Jumaat susulan penyerang KDA FC yang didakwa berada dalam keadaan ofsaid.

Bagaimanapun menurut pengendali Penang FC, Zainal Abidin Hassan, pihaknya akan meneliti dahulu perkara berkenaan sebelum membuat apa-apa tindakan lanjut.

Bagi saya, dari jauh tak nampak, perlu lihat kembali dan jika benar, kita akan buat protes itu...apa pun penting untuk kita lihat dahulu.

“Ini kerana mungkin tindakan pemain benar atau tidak benar, kita pun tak boleh kata sama ada ofsaid atau tidak.

“Saya tahu, betapa kecewanya mereka (pemain), kerana kelemahan Penang FC adalah di benteng pertahanan dan mereka telah berjanji untuk tidak dibolosi tetapi bila berlaku seperti ini sudah semestinya mereka marah.

“Bagi saya secepat mungkin kita akan lihat dan jika benar saya akan beritahu kepada pegawai untuk buat surat aduan,” katanya sejurus tamat perlawanan pada Jumaat.

Pada perlawanan berkenaan, penyerang import KDA FC, Wanja Ronald Ngah menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-56.

Artikel Berkaitan:

Kedudukan penyerang KDA FC, Wanja Ronald Ngah yang dikatakan ofsaid ketika mengasak dan kemudiannya menjaringkan gol tunggal perlawanan.
Kedudukan penyerang KDA FC, Wanja Ronald Ngah yang dikatakan ofsaid ketika mengasak dan kemudiannya menjaringkan gol tunggal perlawanan.

Bagaimanapun, jaringan itu kemudiannya mendapat bantahan daripada pemain Penang FC yang mendakwa pemain berkenaan berada dalam keadaan ofsaid terlebih dahulu sebelum menjaringkan gol berkenaan.

Sementara itu, Zainal Abidin menyifatkan kekalahan 0-1 kepada KDA FC pada Jumaat, sebagai sesuatu yang sangat mengecewwakan.

Katanya, biarpun menurunkan kesebelasan terbaik namun ia dilihat masih belum mencukupi bagi menjamin kemenangan skuad Harimau Kumbang itu.

“Kita perlukan mata (yang amat penting), namun kita telah persia-siakannya. Saya tak nafikan mereka (pemain) telah beraksi dengan baik, berdisiplin, mencari peluang, bertahan dengan baik tetapi ia masih belum cukup.

“Sebab itulah sebagai coach, saya tekankan, bahawa gol (jaringan) adalah sangat penting dalam mana-mana perlawanan dan pujian patut diberikan kepada pemain, sekiranya mereka berjaya menjaringkan gol.

“Apa pun, masih banyak kelemahan yang perlu kita perbaiki bagi mengharungi baki perlawanan dan menamatkan saingan musim ini dengan nota yang baik,” katanya sejurus tamat perlawanan pada Jumaat.

Kekalahan berkenaan menyaksikan Penang FC terus berada pada kedudukan tercorot Liga Super dengan hanya meraih tujuh mata asil satu kemenangan, seri empat kali dan tewas 12 kali daripada 17 perlawanan setakat ini.