Statut Rom: PH u-turn lagi, kata Najib

A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membidas sikap kerajaan yang sekali lagi membuat pusingan U dalam keputusannya dan kali ini melibatkan ratifikiasi Statut Rom.

Najib turut mempersoalkan tindakan kerajaan menandatangani Statut Rom itu pada Mac lepas dan kemudian mendapati Malaysia tidak dapat mengikut beberapa syarat dalam statut tersebut.

Menurutnya, penarikan balik keputusan itu merupakan isu serius memandangkan satu dunia sudah tahu Malaysia menandatanganinya.

“Setelah berbulan mempertahankan diri, kerajaan umum Malaysia akan menarik diri daripada Statut Rom dengan alasan bahawa negara tidak boleh menerima beberapa syarat di bawah Statut Rom.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia tak jadi tandatangan Statut Rom

“Ini isu yang serius. Satu dunia sudah dapat berita kita dah tandatangan. Sekarang u-turn (pusingan U).

“Takkan kerajaan senang-senang untuk tandatangan Statut Rom ini tetapi kemudiannya mendapati kita tidak dapat menerima syarat-syarat?,” tulis beliau dalam Facebooknya.

Dalam status sama, Ahli Parlimen Pekan itu turut mempersoalkan siapakah memberi nasihat undang-undang kepada kerajaan bahawa tiada masalah untuk menandatangani Statut Rom.

Hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia akan menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Menurutnya, ia berikutan kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam kalangan masyarakat sambil menegaskan keputusan itu dibuat bukan disebabkan Statut itu membahayakan negara.

Beliau berkata, Malaysia yang menandatangani Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC pada 4 Mac lepas boleh menarik balik surat cara itu sebelum Jun tahun ini.

“Keputusan untuk menarik diri daripada Statut itu dicapai secara bersama dalam mesyuarat mingguan Kabinet hari ini,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Wisma Putra dalam kenyataan pada 4 Mac lepas berkata, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menandatangani Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC itu pada tarikh berkenaan.

Surat berkenaan kemudian diserahkan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari sama.