Mi 50 sen abang bomba tarikan AKM Kedah

'Fire Kitchen Abang Bomba' menawarkan mi goreng, kuetiau goreng dan bihun goreng pada harga hanya 50 sen sepinggan kepada pengunjung Jelajah AKM Kedah. - Foto FB JBPM Kedah
'Fire Kitchen Abang Bomba' menawarkan mi goreng, kuetiau goreng dan bihun goreng pada harga hanya 50 sen sepinggan kepada pengunjung Jelajah AKM Kedah. - Foto FB JBPM Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - Abang sado. Itu antara ungkapan yang sering dikaitkan dengan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) namun siapa sangka di sebalik tubuh badan sasa yang sering bergelut dengan api, mereka juga tangkas di dapur.

Mempraktikkan kemahiran asas memasak di rumah membolehkan lapan anggota bomba dari Selangor mempamerkan kehebatan beraksi di dapur menerusi trak makanan 'Fire Kitchen Abang Bomba' pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kedah.

Anggota terlibat menggunakan kemahiran berkenaan untuk memasak mi goreng, kuetiau goreng dan bihun goreng yang dijual kepada pengunjung pada harga hanya 50 sen sepinggan.

Penolong Kanan Penguasa JBPM Selangor, Shaharil Mohamad Hassan yang juga Ketua Penyelaras 'Fire Kitchen Abang Bomba' berkata, dua anggota bertindak selaku tukang masak manakala selebihnya membantu menyediakan bahan mentah selain mengendalikan dapur di trak berkenaan.

"Kami bukanlah pakar memasak tapi di rumah sudah biasa masak untuk keluarga, jadi gunakan pengetahuan yang ada untuk menyediakan makanan itu," katanya kepada Bernama di sini pada Sabtu.

Lebih menarik, Shaharil berkata anggota terlibat telah menerima suntikan tifoid yang membolehkan mereka mengendalikan makanan sekiranya terlibat dengan mana-mana program atau karnival.

Mengenai hasil jualan, beliau berkata ia akan diserahkan kepada JBPM Kedah selaku tuan rumah jelajah itu dan harga jualan 50 sen sepinggan bertujuan membolehkan orang ramai berpeluang membeli makanan tersebut.

Beliau berkata, pada hari pertama Jelajah AKM semalam, lebih 45 kilogram (kg) makanan yang dimasak terjual malah terdapat pelanggan sanggup beratur dalam hujan untuk merasa air tangan abang bomba.

Artikel Berkaitan:

Seorang pengunjung, Zuliaty Zulkiffli, 34, berkata, pada awalnya beliau hairan melihat orang ramai beratur panjang di tepi trak makanan itu sebelum turut sama beratur bersama rakan-rakannya bagi membeli makanan panas yang dijual.

"Walaupun semua makanan dijual dengan harga yang sangat murah tetapi kualiti makanan tetap dijaga, rasa makanan yang mereka masak juga sedap dan berbaloi kami beratur panjang. Selain itu, kami turut dapat bergambar dengan abang-abang bomba yang 'sado' serta aset-aset JBPM," katanya.

Jelajah AKM Kedah yang berlangsung tiga hari mulai semalam di Stadium Darul Aman di sini adalah edisi kesembilan selepas Johor, Perlis, Sabah, Terengganu, Perak, Kelantan, Sarawak dan Selangor. - Bernama