Hina Nabi: Warga emas dibicara Jun depan

Wai Foo Sing
Wai Foo Sing
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan 17 dan 18 Jun untuk perbicaraan kes seorang lelaki warga emas yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menghina Rasulullah, Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aishah, dua bulan lepas.

Hakim M.M Edwin Paramjothy menetapkan tarikh itu semasa sebutan kes berkenaan selepas dimaklum Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyaraf Md Kamal bahawa pihak pendakwaan dan pembelaan mewakili tertuduh, Wai Foo Sing bersedia untuk memulakan perbicaraan.

Pada 27 Februari lepas, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memuat naik karikatur yang dikatakan menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda di Facebook miliknya atas nama Foo Sing Wai, pada 5 petang, 17 Februari lepas.

Terdahulu, peguam Gerard Lazarus memberitahu mahkamah pihaknya akan membuat representasi untuk memohon pertuduhan terhadap anak guamnya diringankan.

Gerard juga memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya telah membuat laporan polis mendakwa dia telah dipukul semasa berada dalam tahanan reman selama seminggu di Penjara Sungai Buloh selepas gagal membayar ikat jamin sebanyak RM20,000.

Katanya keluarga Wai membayar jaminan itu pada 13 Mac lepas.

Gerard berkata laporan polis dibuat oleh anak perempuan Wai, di Balai Polis Klang Selatan pada 15 Mac lepas.

Di mahkamah sama, hakim turut menetapkan 26 April untuk sebutan kes Chow Mun Fai, 43, dan Dannny Antoni, 28, bagi membolehkan kedua-duanya melantik peguam.

Artikel Berkaitan:

Chow menghadapi lapan pertuduhan, yakni satu pertuduhan membuat kenyataan yang mungkin mengapikan kaum melayu dengan kaum bukan melayu, dan tujuh pertuduhan memuat naik hantaran yang berkemungkinan menyebabkan suasana tidak harmoni antara penganut Islam dan bukan Islam antara 2.29 petang hingga 7.06 petang pada 2 Mac 2019.

Danny yang berasal dari Sarawak pula didakwa atas dua pertuduhan memuat naik satu hantaran menghina Nabi Muhammad SAW, agama Islam dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mungkin boleh menyebabkan suasana tidak harmoni antara penganut Islam dan bukan Islam menggunakan laman profil 'Danny A'antonio Jr' dengan pada 1.21 pagi, 9 Januari lalu.

Danny dan Chow masing-masing tidak dibenarkan ikat jamin. - Bernama