Maut dalam tandas: Ibu serah polis jalankan siasatan

Dzulkefly (kanan) bertanya khabar kepada Hizanawati ketika melawatnya di Bandar Puncak Alam Fasa 3 pada Jumaat.
Dzulkefly (kanan) bertanya khabar kepada Hizanawati ketika melawatnya di Bandar Puncak Alam Fasa 3 pada Jumaat.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Ibu kepada remaja lelaki yang meninggal dunia dalam kebakaran di sebuah tandas awam terbiar di Bandar Puncak Alam Fasa 3, di sini menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

Hizanawati Abu Bakar, 48, berkata, kes itu masih dalam siasatan polis dan dia tidak mahu mengganggu tugas pihak berkuasa.

Malah, katanya, pihaknya sentiasa memberi kerjasama kepada polis untuk memastikan kes itu dapat diselesaikan segera.

"Jika pelaku didapati bersalah, saya mahu hukuman setimpal dikenakan kepadanya sebagai pengajaran agar kejadian ini tidak berlaku pada masa akan datang.

"Cukuplah hanya anak saya yang menjadi mangsa gurauan hingga maut. Janganlah perkara ini terjadi kepada orang lain," katanya ketika ditemui pada lawatan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di kediamannya di Bandar Puncak Alam Fasa 3 pada Jumaat.

Hizanawati berkata, meskipun perasaannya sebak selepas kehilangan anak lelakinya, Muhammad Damin Mikhail Kamsol, 16, namun tetap bersyukur kerana banyak pihak datang menziarahinya dan memberikan kata-kata semangat.

"Alhamdulillah, penduduk di sekitar kawasan sini prihatin dengan tragedi yang menimpa saya.

"Kebetulan, saya bekerja sebagai pemandu Grab. Mereka (penduduk) menasihatkan saya supaya tidak memandu buat sementara waktu sehingga keadaan stabil seperti sediakala," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Dzulkefly dan isteri, Datin Seri Azlin Hezri meluangkan masa selama kira-kira 30 minit bertanyakan khabar Hizanawati dan memberi sumbangan kepada ibu enam anak itu.

Sinar Harian pada Isnin lalu melaporkan, polis menjalankan siasatan menyeluruh berhubung punca sebenar kematian.

Muhammad Damin Mikhail ditemui rentung di dalam sebuah tandas awam berhampiran sebuah padang pada Ahad.

Ketika kejadian mangsa dikatakan tidur di atas sebuah sofa di hadapan pintu tandas tersebut sebelum kedua-dua suspek menyalakan api di bawah sofa terbabit untuk bergurau.