Lelaki ditahan acu pistol ke arah Naib Presiden Argentina

Kirchner dituduh dalam kes korupsi semasa memegang jawatan Presiden pada tahun 2007 hingga 2015. - Foto Julieta Ferrario/ZUMA Wire/dpa
Kirchner dituduh dalam kes korupsi semasa memegang jawatan Presiden pada tahun 2007 hingga 2015. - Foto Julieta Ferrario/ZUMA Wire/dpa
A
A
A

BUENOS AIRES - Seorang lelaki ditahan polis Argentina pada Khamis selepas dia mengacukan sepucuk pistol ke arah Naib Presiden negara itu, Cristina Fernandez de Kirchner yang dituduh dalam kes korupsi semasa memegang jawatan Presiden pada tahun 2007 hingga 2015.

Beberapa saluran televisyen menyiarkan rakaman lelaki berusia 30-an itu mengacukan pistol ke kepala Kirchner dari jarak dekat ketika wanita tersebut keluar dari sebuah kereta yang membawanya pulang ke Buenos Aires.

Menurut Menteri Keselamatan, Anibal Fernandez, anggota polis forensik akan menganalisis cap jari untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian tersebut.

Kirchner tidak cedera dalam percubaan membunuh itu.

Sebelum ini, beratus-ratus aktivis telah berkumpul di hadapan rumah Kirchner yang turut dituduh memberikan kontrak kerja awam kepada seorang kenalan dan ahli perniagaan di kubu kuatnya di Patagonia.

Pihak pendakwa raya meminta bekas Presiden itu dihukum penjara 12 tahun dan larangan terlibat dalam politik seumur hidup.

Kirchner yang juga Presiden Dewan Senat secara tidak langsung menikmati imuniti Parlimen. - Agensi

Artikel Berkaitan: