Bursa Malaysia ditutup rendah

No Image Caption
A
A
A

BURSA Malaysia ditutup rendah pada Khamis susulan jualan berterusan di keseluruhan pasaran sejajar dengan kelemahan di kebanyakan bursa serantau.

Saham Asia terjejas akibat kemeruapan di pasaran saham global ketika ini selepas data pekerjaan Amerika Syarikat yang kukuh mencetuskan kebimbangan dasar monteri yang lebih ketat lagi, kata seorang peniaga.

Pada jam 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 20.10 mata atau 1.33 peratus kepada 1,491.95 daripada paras penutup 1,512.05 pada Selasa.

Bursa Malaysia dan anak syarikatnya ditutup pada Rabu sempena cuti umum Hari Kebangsaan.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah turun 14.04 mata kepada 1,498.01, dan kemudiannya bergerak antara paras 1,490.71 dan 1,503.49 sepanjang hari dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 661 berbanding 269, manakala 372 kaunter tidak berubah, 986 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan menyusut kepada 2.44 bilion unit bernilai RM2.02 bilion daripada 2.86 bilion unit bernilai RM2.72 bilion pada Selasa.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia ditutup di paras intra hari terendahnya dan kekal berada dalam jajaran 1,490 hingga 1,500 meskipun sentimen berhati-hati.

Artikel Berkaitan:

"Hala tuju jangka terdekat pasaran tempatan masih sangat bergantung kepada kemeruapan serantau, namun, kami percaya aktiviti membeli saham berharga rendah akan muncul memandangkan sokongan belian berterusan daripada dana asing dan penilaian murah ekuiti tempatan.

"Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI diniagakan tinggi dalam jajaran 1,490 hingga 1,510 ke arah hujung minggu," katanya kepada Bernama.

Di peringkat serantau, Nikkei 225 Jepun turun 1.53 peratus kepada 27,661.47, Indeks Hang Seng Hong Kong berkurangan 1.79 peratus kepada 19,597.31, Kospi Korea Selatan jatuh 2.28 peratus kepada 2,415.61, manakala Indeks Straits Times Singapura meningkat 0.07 peratus kepada 3,224.08.

Di bursa tempatan, dalam kalangan saham wajaran tinggi Maybank turun enam sen kepada RM8.91, Public Bank jatuh lima sen kepada RM4.66, Petronas Chemicals dan IHH Healthcare berkurangan dua sen setiap satu masing-masing kepada RM8.78 dan RM6.18, manakala CIMB menokok 11 sen kepada RM5.48.

Dalam kalangan kaunter cergas, Jade Marvel Group turun 19.5 sen kepada 31 sen, Dagang NeXchange susut empat sen kepada 82 sen dan Top Glove jatuh setengah sen kepada 80 sen.

Serba Dinamik meningkat setengah sen kepada 3.5 sen manakala MNC Wireless tidak berubah pada satu sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 136.42 mata kepada 10,561.23, Indeks FBMT 100 turun 134.89 mata kepada 10,314.54, FBM 70 susut 147.84 mata kepada 12,564.60, FBM ACE jatuh 85.40 mata kepada 4,825.04, dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 198.85 mata kepada 10,614.61.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 197.28 mata kepada 6,996.39, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.62 mata kepada 180.58, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 58.55 mata kepada 16,743.37, dan Indeks Tenaga jatuh 17.21 mata kepada 711.33.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 1.52 bilion saham bernilai RM1.73 bilion daripada 1.66 bilion saham bernilai RM2.34 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 333.80 juta unit bernilai RM50.75 juta daripada 373.98 juta unit bernilai RM63.23 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 585.32 juta saham bernilai RM243.51 juta daripada 833.61 juta saham bernilai RM309.80 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 176.03 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (429.39 juta), pembinaan (75.50 juta), teknologi (173.64 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (78.98 juta), hartanah (131.28 juta), perladangan (33.64 juta), REITs (9.5 juta), dana tertutup (sifar), tenaga (235.98 juta), penjagaan kesihatan (99.51 juta), telekomunikasi dan media (18.56 juta), pengangkutan dan logistik (47.10 juta) dan utiliti (14.43 juta). - Bernama