Terbuka Jepun: Pang Ron-Ee Wei mara suku akhir

Pang Ron-Ee Wei meneruskan momentum positif di Terbuka Jepun apabila mara ke suku akhir di Maruzen Intec Arena di Osaka. - Foto BAM
Pang Ron-Ee Wei meneruskan momentum positif di Terbuka Jepun apabila mara ke suku akhir di Maruzen Intec Arena di Osaka. - Foto BAM
A
A
A

BEREGU campuran negara, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei meneruskan momentum positif di Terbuka Jepun apabila menyambar slot suku akhir di Maruzen Intec Arena di Osaka pada Khamis.

Pang Ron-Ee Wei mara setelah menyingkirkan cabaran beregu nombor 20 dunia, Robin Tabeling-Selena Piek dari Belanda pada pusingan kedua dalam aksi 68 minit.

Beregu nombor 62 dunia itu bangkit daripada kekalahan set pertama 29-30 untuk menang 21-18 sebelum melabuhkan tirai dengan kemenangan 21-11 sekali gus mengesahkan pertemuan menentang juara dunia dari China, Zheng Siwei-Huang Ya Qiong.

Sementara itu, Ee Wei mengakui Siwei-Ya Qiong bukan lawan sebarangan apabila kedua-dua beregu tersebut dipertemukan di suku akhir.

“Sejujurnya kami tidak mahu terlalu banyak memikirkan mengenai lawan di suku akhir. Ya, kami akan berdepan dengan juara dunia, apa yang kami boleh janjikan adalah memberikan aksi terbaik dalam perlawanan itu nanti,” katanya.

Pada masa sama Ee Wei menyifatkan Tabeling-Piek mempamerkan aksi yang baik sepanjang perlawanan tersebut, namun

dia dan Pang Ron tetap fokus untuk memenangi set berikutnya walaupun mengakui kecewa tewas set pertama 29-30.

"Ya, kami akui lawan bermain dengan baik, namun kami tidak berputus asa kembali fokus dan bangkit di set kedua,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing juga mengesahkan kemaraan apabila menundukkan, Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang dari Taiwan, 14-21, 21-11, 21-15 dalam aksi 49 minit.

Di suku akhir, Kian Meng-Pei Jing akan berdepan pilihan keempat dari China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi turut mara selepas menewaskan pemain Perancis, Christo Popov-Toma Junior Popov 21-13, 21-13 dalam masa 34 minit.

Bagaimanapun, beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah terpaksa menarik diri selepas Pearly mengalami hamstring ketika ketinggalan 11-16 di set ketiga dalam aksi 74 minit.

Pearly-M Thinaah sebelum itu menang set pertama 21-13 sebelum tewas 19-21 di set kedua kepada beregu Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee Yu Lim.

Cabaran satu lagi beregu wanita negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien juga terhenti di pusingan kedua, dalam aksi 38 minit itu, Vivian-Chiew Sien tewas kepada pilihan pertama dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan 16-21, 14-21.

Cabaran beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai turut terhenti apabila tewas kepada pilihan nombor tiga dunia Yuta Watanabe-Arisa Higashino, 13-21, 8-21 dalam aksi 27 minit.