Jualan Murah Keluarga Malaysia@DE DAGANG diperkenalkan

Annuar ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pasukan khas itu di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada Khamis. - Foto Bernama
Annuar ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pasukan khas itu di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Program penjualan barangan di 17 platform dalam talian antarabangsa dan tempatan, Jualan Murah Keluarga Malaysia@DE DAGANG (JMKM@DE DAGANG), akan diadakan selama empat bulan bermula Sabtu ini hingga Disember.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata program dengan peruntukan RM300 juta itu membolehkan rakyat berbelanja barangan harian melalui dalam talian seperti produk keperluan asas, makanan dan perkakasan rumah pada harga yang berpatutan.

"Melalui program ini, kerajaan berikan insentif seperti potongan harga, baucar diskaun, rebat dan baucar penghantaran kepada rakyat bagi mendorong lebih banyak pembelian secara dalam talian daripada perniagaan dan produk tempatan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di sini pada Khamis.

JMKM@DE DAGANG boleh diakses menerusi platform antaranya Fave, Food Panda, Grab, Lazada, OYO Hospitality, Shopee, TikTok, Bizapp, Jocom, Kumoten, Maybank, InstantStore dan Wonderfly.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, program itu hanya boleh dinikmati oleh warganegara Malaysia dan mereka akan mendapat potongan diskaun sehingga 20 peratus untuk setiap transaksi.

"Pembeli yang menyertai program itu perlu masukkan maklumat kad pengenalan dan ia akan dihadkan kepada satu transaksi berjumlah RM500,” katanya.

Annuar berkata, JMKM@DE DAGANG dijangka memberi manfaat kepada 100,000 peniaga tempatan selain dijangka menjana sebanyak lima juta transaksi dalam talian.

Program JMKM@DE DAGANG juga akan membantu usahawan yang mempunyai produk barangan buatan dan jenama Malaysia yang berpotensi dieskport serta produk pelancongan dan kraf.

Artikel Berkaitan:

"Ia juga akan menawarkan perkhidmatan untuk sektor pelancongan seperti tempahan hotel. Kita ingin galakkan perkembangan industri pelancongan kerana industri ini boleh membantu pulihkan ekonomi negara,” katanya.

Ditanya adakah peruntukan berjumlah RM300 juta itu akan ditambah sekiranya habis sebelum tarikh tamat program itu, Annuar berkata perkara itu akan diteliti dengan Kementerian Kewangan. - Bernama