Aaron-Wooi Yik bakal terima insentif tambahan

Pasangan beregu negara, Aaron Chia Teng Fong (kiri) dan Soh Wooi Yik diberi sambutan wira sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Khamis. - Foto Bernama
Pasangan beregu negara, Aaron Chia Teng Fong (kiri) dan Soh Wooi Yik diberi sambutan wira sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

DUA wira badminton negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik akan menerima insentif tambahan daripada kerajaan atas kejayaan mereka merangkul gelaran dunia sulung buat Malaysia, baru-baru ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ganjaran khas itu merupakan tambahan kepada RM20,000 seorang di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) yang disediakan kementerian berkenaan.

Ini kejayaan pertama anak Malaysia di pentas Kejohanan Badminton Dunia, maka tentunya KBS (Kementerian Belia dan Sukan) akan memastikan ganjaran atau sumbangan selain daripada SHAKAM akan diberikan kepada mereka.

"Jumlahnya saya tidak akan umumkan sekarang... kita nak mereka menang lagi banyak gelaran,” katanya pada sidang media selepas menyambut kepulangan Aaron-Wooi Yik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada Khamis.

Ahad lepas, Aaron-Wooi Yik mencipta sejarah sebagai wakil Malaysia pertama memenangi gelaran dunia selepas penantian 45 tahun dengan menewaskan gandingan berpengalaman dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14 pada pentas final di Tokyo, Jepun.

Berikutan itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengumumkan ganjaran RM150,000 setiap seorang daripada BAM serta RM50,000 seorang menerusi penaja Yonex.

Ganjaran khas daripada KBS itu dijangka diberikan pada satu majlis minggu depan bagi meraikan pemenang pingat dan pemberian SHAKAM bagi beberapa kejohanan dan temasya termasuk Sukan SEA Hanoi dan Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Sementara itu, Ahmad Faizal berharap peminat sukan tanah air tidak terlalu ‘keras’ dalam mengkritik atlet sekiranya mereka tidak dapat mempamerkan prestasi diharapkan pada mana-mana kejohanan.

Artikel Berkaitan:

"Kritikan naikkan semangat untuk perbaiki prestasi adalah baik tetapi jangan terlalu kasar sehingga mereka patah semangat untuk berjuang. Kita sebagai penyokong perlu cari jalan untuk membangkitkan semangat mereka.

"Dulu Aaron-Wooi Yik dikritik kerana selalu kalah di separuh akhir tetapi mereka tak putus asa, terus berjuang tanpa mengira tohmahan dan mereka buktikan dengan bawa pulang mahkota sulung negara dari Kejohanan Dunia,” katanya dan menambah bahawa kejayaan itu amat signifikan sebagai hadiah terbaik bagi rakyat Malaysia yang meraikan Hari Kebangsaan 2022 pada Rabu. - Bernama