Pengawal peribadi ditahan bersama kerambit, 'pistol'

Kerambit dan objek menyerupai pistol yang dirampas susulan penahanan seorang pengawal peribadi di Ukay Perdana, Hulu Kelang, Selangor pada Khamis.
Kerambit dan objek menyerupai pistol yang dirampas susulan penahanan seorang pengawal peribadi di Ukay Perdana, Hulu Kelang, Selangor pada Khamis.
A
A
A

AMPANG - Polis memberkas seorang pengawal peribadi bersama rampasan kerambit dan objek menyerupai pistol di Ukay Perdana, Hulu Kelang di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, lelaki tempatan itu ditahan anggota Balai Polis Hulu Kelang yang sedang membuat rondaan pada jam 1.56 pagi.

"Suspek yang menaiki motosikal jenis Yamaha Ego itu dilihat dalam keadaan mencurigakan semasa berada di stesen minyak sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

"Pemeriksaan di dalam beg silang suspek menjumpai sebilah kerambit, satu objek menyerupai pistol serta satu unit walkie talkie," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, berdasarkan soal siasat, suspek mendakwa menyimpan senjata itu untuk kegunaan pekerjaannya sebagai pengawal peribadi.

Katanya, semakan mendapati suspek berusia 21 tahun itu memiliki dua rekod lampau atas kesalahan dadah.

"Lelaki itu kini direman empat hari sehingga Ahad untuk siasatan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan 1958 serta Seksyen 36 Akta Senjata 1960," ujarnya.

Artikel Berkaitan: