Kerajaan istiqamah soal integriti, pengasingan kuasa

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A
KUALA LUMPUR - Kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal istiqamah mengutamakan soal integriti dan mematuhi setiap prinsip pengasingan kuasa serta menjaga aspirasi dan harapan rakyat dalam setiap dasar kerajaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menegaskan, setiap keputusan serta dasar kerajaan mesti mengikut jalur peraturan dan keluhuran undang-undang.

Beliau berkata, segala syor atau cadangan yang bersifat menjaga kepentingan kumpulan atau puak hanya sekadar pandangan peribadi atau polemik politik.

"Siapa sahaja boleh beri pandangan, tapi kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Ismail Sabri akan kekal istiqamah berintegriti dan dengar suara hati rakyat.

"Tiada siapa boleh paksa Perdana Menteri buat sesuatu yang tak kena dengan keluhuran undang-undang dan pengasingan kuasa," katanya pada sidang media selepas sambutan Hari Kebangsaan 2022, di Dataran Merdeka, di sini pada Rabu.
Artikel Berkaitan:


Annuar menjawab pertanyaan pemberita berhubung pandangan dan kritikan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said terhadap badan kehakiman negara.

Sabtu lepas, Azalina dilapor menyampaikan ucapan penuh semangat berkaitan pelantikan Peguam Negara sewaktu program Taklimat Khas Presiden UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. - Bernama