Kerajaan perhalusi undang-undang lindungi pengguna

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memperhalusi segala undang-undang yang memberikan perlindungan kepada pengguna termasuk 'lemon laws' yang diguna pakai di negara maju.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, lemon laws dilaksanakan di Amerika Syarikat untuk melindungi pembeli yang berdepan kerosakan kenderaan yang tidak boleh dibaiki atau punca kerosakan yang tidak diketahui.

Menurutnya, di peringkat kementerian sudah ada perbincangan mengenai perkara itu dan sedang mendapat input daripada pemain industri mengenai peraturan itu.

"Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) menerima sebanyak 1,126 aduan berkenaan pembelian kereta baru dan terpakai antara Januari hingga Ogos lalu.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 1,034 kes selesai manakala 92 sedang berjalan. Ia membabitkan 3.68 juta nilai tuntutan," katanya pada pelancaran perlindungan AutoGen Plus di Hotel Berjaya Times Square pada Selasa.

Beliau berkata, statistik semasa itu menunjukkan terdapat permasalahan membabitkan perlindungan pembeli kereta yang perlu ditambah baik.

"Mungkin ada banyak lagi tuntutan yang tidak dibuat dan kita tak tahu. Kes-kes ini menunjukkan ada keperluan kita mempunyai program yang dapat memberikan perlindungan kepada pengguna.

"Kerajaan melihat segala undang-undang yang perlindungan kepada pengguna termasuk lemon laws yang antara langkah ke hadapan untuk buat penambahbaikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Persekutuan Persatuan-Persatuan Syarikat Permotoran & Kredit Malaysia (FMCCAM) itu, Datuk Tony Khor berkata, lemon laws dapat memperkukuh peraturan sedia ada di dalam negara.

"Pembeli kereta terpakai dilindungi Akta Perlindungan Pengguna (APP) 1999 sebaliknya pengedar kereta terpakai terdedah kepada risiko akibat kerosakan kenderaan yang tidak dimaklumkan semasa proses jual beli.

"Pelaksanaan perlindungan babitkan pasaran kereta terpakai di negara jiran serta negara membangun lebih baik berbanding Malaysia. Dengan mengguna pakai lemon laws dijangka mampu memperbaiki kelemahan tersebut," katanya.