Siasatan kes pendakwah rogol remaja selesai

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

HULU SELANGOR - Polis sedang menunggu arahan lanjut daripada pihak timbalan pendakwa raya berhubung kes seorang pendakwah bebas yang didakwa merogol seorang remaja 14 tahun.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, siasatan berhubung kes berkenaan telah selesai dan kertas siasatan sedang diteliti oleh timbalan pendakwa raya.

"Siasatan kes selesai dan kita telah kemukakan kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya, sekarang masih menunggu arahan lanjut.

"Dia (timbalan pendakwa raya) akan menentukan sebelum buat keputusan dan teliti kertas siasatan sama ada perlukan keterangan tambahan atau lain-lain.

"Jadi saya tidak boleh komen berkenaan kemungkinan akan didakwa atau tidak, kita tunggu timbalan pendakwa raya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, di sini pada Selasa.

Pada 19 Julai Sinar Harian melaporkan, seorang pendakwah bebas ditahan di IPD Kuala Selangor selepas polis menerima laporan daripada mangsa yang berusia 14 tahun.

Sebanyak empat kertas siasatan telah dibuka iaitu dua di Selangor, masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Perak melibatkan mangsa yang sama.

Hasil siasatan awal mendapati, mangsa berkenalan dengan suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an sejak Mei tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Bermula dari perkenalan tersebut, mangsa dan suspek telah beberapa kali melakukan hubungan intim di beberapa lokasi yang berbeza.