Tanda harga RM267 juta bintang Brazil di West Ham

Paqueta akan bersama West Ham untuk tempoh selama lima tahun. - Foto Agensi
Paqueta akan bersama West Ham untuk tempoh selama lima tahun. - Foto Agensi
A
A
A

PEMAIN Brazil, Lucas Paqueta menjadi tonggak baharu diikat kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), West Ham dengan harga rekod kelab £51 juta (RM267.98 juta), umum kelab London itu awal pagi tadi.

Ketika mengumumkan pembelian tersebut, kelab London itu memberitahu pemain tengah itu yang berpindah dari kelab Perancis, Lyon adalah pemain kelapan ditandatangani skuad David Moyes.

Sebelum ini The Hammers menandatangi Nayef Aguerd, Alphonse Areola, Maxwel Cornet, Flynn Downes, Thilo Kehrer, Emerson Palmieri dan Gianluca Scamacca yang kesemuanya tiba di Stadium London pada awal jendela perpindahan lalu.

Paqueta, 25, mengikat kontrak lima tahun dengan pilihan setahun lagi.

Dia berdepan The Hammers ketika mereka menyingkirkan Lyon pada saingan Liga Europa musim lalu.

Paqueta juga menjadi sasaran kelab EPL sejak sekian lama termasuk Arsenal yang berminat dengannya sejak beberapa tahun lalu.

West Ham akan membayar yuran permulaan £36.4 juta (RM191.3 juta) dengan bayaran tambahan menjadikan jumlah keseluruhan £51 juta (RM267.98 juta) untuk beberapa tahun akan datang.

Paqueta yang juga bekas pemain AC Milan akan memakai jersi nombor 11 dan dalam laman web West Ham dia memberitahu;

Artikel Berkaitan:

"Saya sangat gembira berada di sini.

"Saya berharap ia perjalanan menggembirakan dan berjaya di sini. West Ham mempunyai musim yang cemerlang musim lalu dan saya berharap mereka dapat meneruskannya musim ini.

"Saya gembira menyarung jersi West Ham dan menunjukkan kepada penyokong apa yang boleh saya lakukan, membantu rakan sepasukan dan kelab," ujarnya.

Paqueta dijangka membuat penampilan pertama pada awal pagi Khamis ini ketika menentang Tottenham di tempat sendiri.