1,000 helai Jalur Gemilang, bendera Sabah hiasi rumah

Mohd Arif bersama isterinya, Linah berada di halaman rumah mereka dengan berlatarbelakangkan hiasan bendera Jalur Gemilang dan Sabah di Kampung Melati, Beaufort.
Mohd Arif bersama isterinya, Linah berada di halaman rumah mereka dengan berlatarbelakangkan hiasan bendera Jalur Gemilang dan Sabah di Kampung Melati, Beaufort.
A
A
A

BEAUFORT - Sepasang suami isteri bukan saja sanggup mengeluarkan wang beratus ringgit tetapi sanggup memerah tenaga untuk menghias halaman rumah dengan 1,000 helai Jalur Gemilang dan bendera Sabah demi semangat mereka untuk menyambut bulan kemerdekaan.

Mohd Arif Abdullah, 55, dan isterinya Linah Momin, 68, dari Kampung Melati, di sini, menganggap dengan menghias halaman rumah mereka dengan bendera negara dan negeri adalah sebagai tanda menghargai kemerdekaan yang dikecapi selama ini.

Katanya, tidak pernah rasa terbeban untuk mengeluarkan wang membeli Jalur Gemilang dan bendera Sabah untuk hiasan di sekeliling rumah mereka dan idea menghias halaman rumah dengan cara itu sudah dilakukan sejak lapan tahun lalu.

"Bagi saya, dengan cara ini saya dapat menghargai erti kemerdekaan, apa yang rakyat Malaysia kecapi ketika ini lebih baik dari dulu terutama pada zaman penjajahan Jepun yang dilalui oleh ibu saya dulu.

"Menurut cerita ibu saya, dulu mereka susah mendapatkan bekalan makanan dan terpaksa bersembunyi sehingga tamatnya perang dengan Jepun," katanya ketika ditemui dikediamannya di Kampung Melati, di sini, pada Isnin.

Mohd Arif yang juga tukang kebun di sebuah sekolah menengah di sini berkata, bendera yang banyak di halaman rumah itu adalah hasil daripada tabungan mereka suami isteri pada setiap tahun.

"Tahun ini saya tambah lagi bendera sebanyak 85 helai dan menjadikan jumlah keseluruhan bendera yang dipasang di sekeliling rumah sebanyak 1,000.

"Kos pula mencecah sehingga RM400 di mana sehelai bendera dianggarkan berharga antara RM3 hingga RM8 mengikut saiz manakala tiangnya kami hanya menggunakan buluh yang dicari sendiri di hutan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Linah berkata, dia sentiasa menyokong apa yang dilakukan suaminya terutama dalam menghias halaman rumah supaya lebih ceria memandangkan rumah mereka berada di tengah Pekan Beaufort.

Katanya lagi, disebabkan suasana halaman rumah mereka yang ceria menyebabkan ramai orang awam singgah mengambil peluang untuk merakamkan gambar kenangan.