Berpada-padalah ketika cuti sekolah

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

MINGGU ini merupakan minggu terakhir para pelajar bersekolah sebelum bercuti selama sembilan hari seperti yang diputuskan oleh Kementerian Pendidikan.

Selepas selesai menduduki peperiksaan dan juga beraksi di padang sekolah untuk acara sukan tahunan, cuti sekolah kali ini menjadi antara yang dinantikan.

Begitupun Merak Jalanan ingin menasihatkan ibu bapa agar berhati-hati kerana negara masih lagi belum bebas sepenuhnya daripada virus Covid-19 dan kes baharu angka jangkitan masih lagi mencecah empat angka dan setiap hari turut mencatatkan kematian.

Terkini, masyarakat bukan sahaja terdedah dengan virus yang telah meragut 36,000 nyawa tetapi orang ramai turut terdedah dengan penyakit berjangkit baharu seperti cacar monyet dan juga influenza.

Namun, apa yang Merak Jalanan lihat hari ini apabila banyak sekatan dilonggarkan, orang ramai dilihat kembali menjalani rutin harian seperti sebelum Covid-19 ‘menyerang’ negara walaupun masing-masing masih lagi memakai pelitup muka.

Di sebalik kegembiraan menyambut cuti sekolah diingatkan banyak perkara penting yang perlu diambil kira terutama dari segi pelajaran dan keselamatan.

Musim cuti persekolahan bukanlah tiket bagi seseorang murid untuk melupakan ilmu dan menggunakan sepenuhnya masa dengan bermain.

Selain perlu bijak memanfaatkan cuti sekolah dengan perkara berfaedah, keselamatan juga perlu diutamakan bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

Artikel Berkaitan:

Sebagai murid, menjadi tanggungjawab untuk menimba ilmu sebanyak mungkin walaupun sedang cuti.

Rutin seperti hari persekolahan perlu diteruskan seperti bangun awal mengulang kaji pelajaran dan menyiapkan kerja rumah yang diberikan guru.

Jadi ingatlah, cuti adalah waktu terbaik untuk mengulang kaji dan melihat balik apa yang diajar oleh guru.