Tentera Darat Malaysia mohon maaf insiden kereta kebal rosak

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Tentera Darat Malaysia (TDM) memohon maaf susulan insiden kerosakan dua aset pasukan itu ketika menyertai raptai sambutan Hari Kebangsaan 2022, sekali gus mengakibatkan berlaku kesesakan jalan raya pada Jumaat dan Sabtu.

Sel Perhubungan Raya Markas TDM dalam kenyataan memaklumkan, dua kenderaan iaitu kereta kebal jenis PT-91M Pendekar dan Kenderaan Pengangkut Kereta Perisai (Prime Mover) terbabit dalam insiden berkenaan.

"Kejadian pertama pada jam 10.30 pagi semalam (Jumaat) membabitkan sebuah kenderaan PT-91M Pendekar mengalami kerosakan di Jalan Damansara, iaitu di susur keluar Carcosa ke KL Sentral.

"Kenderaan itu baru selesai menjalani raptai perbarisan dan dalam perjalanan ke tempat parkir Kenderaan Jenis A (KJA), sebelum berhenti secara tiba-tiba akibat masalah enjin yang dihadapi sekitar jam 10.30 pagi.

"Armoured Recovery Vehicle (ARV) kemudian diatur gerak bagi memberi bantuan menarik kenderaan itu dan berjaya dialihkan ke tempat parkir KJA di Muzium Negara pada jam 11 pagi untuk kerja pembaikan," menurut kenyataan tersebut pada Sabtu.

Kenyataan itu turut memaklumkan, insiden kedua berlaku jam 11.26 pagi Sabtu membabitkan sebuah Kenderaan Pengangkut Kereta Perisai yang dalam perjalanan balik ke Kem Perdana Sungai Besi dan mengalami masalah enjin tidak dapat dihidupkan.

"Sejurus itu, anggota mekanik diatur gerak ke lokasi dan membuat kerja pembaikan dan kenderaan terbabit siap dibaiki jam 12.30 tengah hari dan meneruskan kembali perjalanan.

"Untuk makluman, sebanyak 129 aset kenderaan TDM terbabit dalam perarakan sempena Hari Kebangsaan kali ini.

Artikel Berkaitan:

"TDM memohon maaf susulan dua insiden yang berlaku," menurutnya.

Dalam pada itu, TDM akan memastikan kejadian sedemikian tidak berulang dan sekiranya berlaku, 'Recovery Team' bersama KEMBALIK di lokasi berhampiran akan bertindak pantas menunda kenderaan bagi mengelak kesesakan lalu lintas.