Lebih 46,000 usahawan ikuti program Wanita Bangkit@KPWKM

Rina beramah mesra bersama para hadirin pada Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Wanita Bangkit di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang pada Sabtu. - Foto Bernama
Rina beramah mesra bersama para hadirin pada Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Wanita Bangkit di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berjaya mengumpul 46,426 usahawan wanita bagi mengikuti Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM sejak dilancarkan pada 1 September lepas.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, jumlah tersebut amat memberangsangkan terutamanya selepas peralihan negara daripada fasa pandemik ke endemik.

"Wanita Bangkit@KPWKM lahir daripada situasi pandemik Covid-19 yang memberi kesan kepada kehidupan masyarakat termasuk golongan wanita dalam pelbagai aspek terutamanya kewangan.

"Inisiatif ini selaras dengan aspirasi kerajaan iaitu dasar tiada sesiapa yang tertinggal dan untuk menyokong serta menjamin kehidupan golongan yang terjejas khususnya wanita,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM di sini pada Sabtu.

Menurutnya, inisiatif itu yang diwujudkan bagi membantu wanita dalam menghadapi cabaran pascapandemik, dibahagikan kepada dua kaedah iaitu menerusi sektor formal dan tidak formal.

Rina turut menasihatkan golongan wanita agar sentiasa bersemangat dalam menempuhi pelbagai cabaran selain berani untuk berdikari mencari sumber pendapatan.

Mengenai Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM, Rina berkata, lebih 15,000 peluang pekerjaan pelbagai sektor ditawarkan oleh kira-kira 30 majikan sepanjang program sehari itu.

Katanya, karnival itu memberi fokus kepada aktiviti penjanaan pendapatan dengan menghubungkan wanita kepada platform yang menawarkan peluang pekerjaan, perniagaan atau keusahawan.

Artikel Berkaitan:

"KPWKM ingin membuka seluas-luasnya peluang kerjaya kepada semua lapisan masyarakat khususnya golongan wanita. Melalui karnival ini juga ada sesi perkongsian tips dan nasihat daripada usahawan berjaya,” katanya.

Rina berkata, KPWKM menyasarkan 59 peratus penyertaan wanita dalam pasaran kerja menjelang 2025. - Bernama