200 ekor ayam laris dalam tempoh sejam

Pelanggan membeli ayam dan habis dijual dalam tempoh sejam.
Pelanggan membeli ayam dan habis dijual dalam tempoh sejam.
A
A
A

KOTA BHARU - Sejumlah 200 ekor ayam mentah laris dijual dalam tempoh sejam di Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) 2.0 di Dewan Undangan Negeri Kok Lonas, di sini pada Sabtu.

Kesemuanya habis dibeli oleh orang ramai yang memanfaatkan peluang mendapatkan bekalan makanan tersebut dengan tawaran harga yang lebih murah iaitu RM6.50 sekilogram.

Norsila
Norsila

Peniaga ayam, Norsila Samat, 32, berkata, pelanggan terdiri daripada penduduk setempat beratur lebih awal bermula pada jam 8 pagi di gerainya yang dibuka di hadapan Pasar Raya Jelira, Kok Lanas.

“Selepas sejam pada jam 9 pagi ini, 200 ayam yang dibekalkan itu sudah habis dibeli oleh pelanggan kerana harga lebih murah berbanding harga biasa RM8.20 sekilogram.

“Program berlangsung selama dua hari menyebabkan saya bercadang untuk menambah bekalan ayam sebanyak 300 ekor yang akan dijual esok,” katanya ketika ditemui di PJMKM Kok Lanas di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad yang turut merasmikan program berkenaan.

Fatimah
Fatimah

Artikel Berkaitan:

Seorang pelanggan, Fatimah Ismail, 52, memberitahu tidak sempat untuk membeli ayam yang dijual di program tersebut kerana habis lebih awal.

“Kebiasaan saya memerlukan dua ekor ayam sehari untuk makan seharian bersama suami dan enam anak.

“Saya bagaimanapun masih boleh membeli barangan lain yang ditawarkan dengan harga murah seperti bawang besar RM3 sekilogram berbanding RM4.50 sekiligram, bawang putih RM3 per pek dan kubis RM1.90 sekilogram,” katanya.

Ahmad Deraman
Ahmad Deraman

Sementara itu, pemilik Pasaraya Jelira, Kok Lanas, Ahmad Deraman, 55, berkata, bantuan subsidi kerajaan sebanyak RM25,000 menerusi pelaksanaan PJMKM di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) itu amat membantu meringankan bebanan rakyat.

“Bukan sahaja pelanggan dapat membeli barangan dengan harga lebih murah bahkan peniaga juga dapat meningkatkan pendapatan.

“Program akan diteruskan setiap dua minggu sehingga Disember ini,” katanya.