Tiga PPR baharu dibina di Johor

Mohd Jafni (dua dari kanan) menyantuni seorang peserta Program Bazar Komuniti Iskandar Puteri di Taman Nusantara, Iskandar Puteri pada Sabtu.
Mohd Jafni (dua dari kanan) menyantuni seorang peserta Program Bazar Komuniti Iskandar Puteri di Taman Nusantara, Iskandar Puteri pada Sabtu.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Tiga Projek Perumahan Rakyat (PPR) baharu akan dibina di Johor bagi meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya golongan B40.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, tiga PPR itu adalah di Pengerang, Sembrong dan Tenggara.

"PPR Pengerang melibatkan sejumlah 300 unit kediaman yang dibangunkan khusus buat kakitangan awam sama ada mereka berkhidmat dengan agensi pusat atau agensi negeri di bawah inisiatif Program Perumahan Awam Malaysia (PPAM).

"Pembinaan PPR Tenggara dan PPR Sembrong pula melibatkan pembinaan sebanyak 400 kediaman 'landed' bagi kedua-dua projek berkenaan," katanya selepas merasmikan Bazar Komuniti Iskandar Puteri di Taman Nusantara di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi Yayasan Penyayang Iskandar Puteri (YPIP), Datuk Mohammad Khairi A Malik dan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan YPIP, Salamian Surip.

Mohd Jafni berkata, kerja-kerja teknikal untuk pembinaan PPR itu sudah dilengkapkan dengan PPR Pengerang dijangka mula dibangunkan seawal bulan depan.

Tambah beliau, pihaknya ada menerima permohonan pembinaan PPR Larkin dan perkara itu akan dipanjangkan kerajaan negeri kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Katanya, PPR Larkin kini berada dalam fasa permohonan dengan dua cadangan pembinaan diberi iaitu sama ada kediaman melibatkan 334 unit setinggi lima tingkat atau 684 unit setinggi 18 tingkat.

Artikel Berkaitan:

"PPR ini adalah satu usaha kerajaan untuk membantu golongan b40 dan ke bawah untuk memiliki kediaman sendiri dalam bentuk sewaan dengan kerajaan.

"Maksudnya adalah mereka menyewa terdahulu dan selepas beberapa tahun setelah mereka berjaya mengumpulkan duit, kita galakkan untuk mereka membeli kediaman sendiri agar rumah PPR tersebut dapat dimanfaatkan oleh individu layak seterusnya," katanya.

Berhubung program tersebut, Mohd Jafni memaklumkan Bazar Komuniti merupakan satu inisiatif kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membantu mengurangkan beban sara hidup penduduk selain turut menyokong usahawan kecil tempatan.

Pada majlis berkenaan, Mohd Jafni menyumbangkan sumbangan berbentuk peralatan perniagaan kepada beberapa peserta yang mengikuti kursus keusahawanan dianjurkan YPIP.