Maritim Malaysia selamatkan 16 kru kapal mangsa bot hanyut

Kru kapal yang diselamatkan Maritim Malaysia selepas bos penumpang dinaiki kehabisan minyak dan hanyut. - Foto Maritim Malaysia
Kru kapal yang diselamatkan Maritim Malaysia selepas bos penumpang dinaiki kehabisan minyak dan hanyut. - Foto Maritim Malaysia
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 16 kru kapal berdepan detik cemas apabila terkandas selama dua hari di laut selepas bot penumpang dinaiki kehabisan minyak ketika menuju ke Pulau Batam, Indonesia.

Bagaimanapun kesemua mereka bernasib baik apabila diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada jam 5 petang Jumaat.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, sejurus dimaklumkan mengenai kejadian itu daripada Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Johor Bahru, pihaknya menggerakkan Bot Perkasa 44 ke lokasi untuk menyelamatkan mangsa.

"Bot Perkasa 44 telah digerakkan ke lokasi dan kesemua mangsa diselamatkan pada kedudukan lebih kurang lima batu nautika barat daya Pulau Pemanggil.

"Siasatan awal mendapati, kesemua 16 mangsa merupakan kru kapal dagang MT Voras yang berdaftar di UAE. Mereka diturunkan dari kapal di perairan Sedili dan menaiki bot penumpang, namun kehabisan bekalan minyak ketika dalam perjalanan menuju ke Pulau Batam.

"Seterusnya, bot mereka hanyut sejauh lebih kurang 40 batu nautika ke perairan Pulau Pemanggil selama dua hari sejak Rabu lalu," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, kru kapal tersebut terdiri daripada tujuh orang kru warga Indonesia, enam orang warga Sri Langka dan tiga orang warga India termasuk kapten kapal berumur antara 22 hingga 64 tahun.

"Kesemua mereka berserta bot dibawa ke jeti untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Mangsa bot hanyut yang diselamatkan Maritim Malaysia pada kedudukan lebih kurang lima batu nautika barat daya Pulau Pemanggil pada Jumaat.- Foto Maritim Malaysia
Mangsa bot hanyut yang diselamatkan Maritim Malaysia pada kedudukan lebih kurang lima batu nautika barat daya Pulau Pemanggil pada Jumaat.- Foto Maritim Malaysia

"Maritim Malaysia mengingatkan seluruh komuniti maritim agar mengutamakan keselamatan terutamanya ketika keadaan laut yang bergelora dan cuaca yang tidak menentu.Tangguhkan sebarang aktiviti sekiranya keadaan tidak mengizinkan," katanya.

Jelasnya, langkah keselamatan semasa berada di laut dengan memakai jaket keselamatan dan membawa bersama peranti Personal Located Beacon (PLB) amat perlu bagi memudahkan pihak Maritim Malaysia mengenal pasti lokasi sekiranya berlaku kecemasan.

"Sebarang kecemasan dan aduan jenayah segera hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404," katanya.