'Sengaja bakar surat, topi keledar lama'

Penduduk Blok B, Pangsapuri Teratak Muhibbah digemparkan dengan kejadian kebakaran di kawasan peti surat blok berkenaan pada awal pagi Jumaat.
Penduduk Blok B, Pangsapuri Teratak Muhibbah digemparkan dengan kejadian kebakaran di kawasan peti surat blok berkenaan pada awal pagi Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kebakaran melibatkan surat dan topi keledar lama yang diletakkan di kawasan lobi Blok B, Pangsapuri Teratak Muhibbah dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat dalam kejadian pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kejadian berkenaan dilaporkan seorang individu kira-kira jam 10.31 pagi.

Menurutnya, rumah mangsa berdekatan dengan kawasan kebakaran iaitu peti surat pangsapuri tersebut.

"Siasatan dijalankan mendapati kira-kira jam 3.29 pagi, mangsa menyedari kebakaran berlaku dan terus menghubungi pihak bomba.

"Bomba kemudian tiba dan menjalankan kerja pemadaman di kawasan yang terbakar tersebut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Amihizam berkata, hasil siasatan dan pemeriksaan di tempat kejadian terdapat kesan kebakaran pada dinding di atas peti surat tersebut.

"Pemeriksaan mendapati beberapa helai surat dan topi keledar lama yang berada di atas peti surat tersebut telah terbakar.

"Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati kebakaran ini berpunca daripada perbuatan yang disengajakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, semakan di tempat kejadian juga tiada sistem kamera litar tertutup (CCTV).

"Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai dinasihatkan agar menyalurkan sebarang maklumat dengan serta merta dengan menghubungi Mers 999 atau talian IPD Brickfields, 03-22792222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Pada awal pagi Jumaat, penduduk Blok B, Pangsapuri Teratak Muhibbah digemparkan dengan kejadian kebakaran melibatkan topi keledar lama yang diletakkan di kawasan peti surat blok berkenaan.

Bagaimanapun kejadian tersebut disedari penduduk dan kebakaran berjaya dipadamkan segera pihak bomba yang dihubungi ketika kejadian.