Muafakat Pas-UMNO boleh menang lebih 132 kerusi Parlimen

Tuan Ibrahim (dua dari kanan) ditemui selepas berucap dalam ceramah di Kampung Pasir Linsum, malam tadi.
Tuan Ibrahim (dua dari kanan) ditemui selepas berucap dalam ceramah di Kampung Pasir Linsum, malam tadi.
A
A
A

SEREMBAN - Muafakat politik Pas dan UMNO dijangka boleh memberikan kemenangan kepada gabungan itu dengan lebih 132 kerusi Parlimen pada PRU15.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jangkaan itu berdasarkan perubahan mood yang ditunjukkan pengundi selepas PRU14.

"Pas dan UMNO akan rangka muafakat politik dalam konsep yang dipersetujui bersama, tak ada masalah. Pas dan UMNO masing-masing ada dua negeri.

"Insya-ALLAH dari Perlis ke Pahang, Terengganu dan Kelantan, kita dah kira kalau muafakat politik ini berjalan dengan betul kita boleh menang lebih 132 kerusi Parlimen. Kalau kita ambil kira perubahan yang berlaku dalam PRK Semenyih, bukan ombak biasa tapi tsunami politik yang akan berlaku dalam PRU15," katanya ketika berucap dalam ceramah di Kampung Pasir Linsum di sini, malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Katanya, walaupun Pas dan UMNO berdepan politik yang berbeza, tapi mereka bersama dalam banyak perkara.

"Sebab itu kita tubuh jawatankuasa untuk rangka hala tuju politik Pas-UMNO. Bukan saja untuk hadapi PRU15, tapi kita dah putuskan beberapa perkara.

"Pertama, jika ada PRK, kalau Pas masuk UMNO tolong, kalau UMNO masuk Pas akan tolong. Kedua, dalam konteks berdepan kepentingan rakyat di peringkat Parlimen atau negeri, kita bersetuju untuk bersama-sama membela nasib rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam sidang media selepas itu, Tuan Ibrahim berkata, jawatankuasa teknikal kerjasama Pas-UMNO telah bermesyuarat semalam selepas sebulan ditubuhkan.

"Dalam masa terdekat ini, jawatankuasa tertinggi parti pula akan berbincang dan kita akan teliti cadangan daripada jawatankuasa tersebut," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'UMNO-Pas dah bersanding' - Tok Mat]

[ARTIKEL BERKAITAN: 22 pimpinan UMNO-Pas anggotai Jawatankuasa Perundingan]