Belanjawan berasaskan data gender 2023: PM

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (duduk, tengah) berkenan bergambar kenangan sempena majlis sambutan Hari Wanita Kebangsaan ke-60 di Dewan Perdana Felda, pada Khamis. Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (empat dari kiri) dan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Datuk Seri Nancy Shukri (tiga dari kanan).
Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (duduk, tengah) berkenan bergambar kenangan sempena majlis sambutan Hari Wanita Kebangsaan ke-60 di Dewan Perdana Felda, pada Khamis. Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (empat dari kiri) dan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Datuk Seri Nancy Shukri (tiga dari kanan).
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kementerian Kewangan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita diberi bertanggungjawab menyediakan Belanjawan Responsif Gender untuk golongan B40 mulai tahun depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, inisiatif belanjawan berasaskan data asing gender itu akan mengenal pasti kumpulan sasar dan mengagih sumber mengikut keperluan penerima yang signifikan bilangannya.

"Ini bukan sahaja kepada ibu tunggal tetapi juga untuk bapa tunggal sekiranya semakin tinggi peningkatan dalam sesebuah komuniti," katanya ketika berucap pada sambutan Hari Wanita Kebangsaan ke-60, di sini, pada Khamis.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat ke majlis sambutan tersebut.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan menambah baik dasar, perundangan serta program yang lebih peka gender termasuk usaha pembaharuan dalam penyemakan Dasar Wanita Negara dan penggubalan Rang Undang-undang (RUU) yang prihatin gender.

Beliau berkata, antaranya RUU Antigangguan Seksual 2021 telah diluluskan sebulat suara oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara, manakala RUU Jenayah Intip dan Hendap (Anti-Stalking Law) telah dibentang untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada 4 Ogos lepas.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan meneruskan Pelan Tindakan Menangani Perkahwinan Bawah Umur dengan yang terkini, Kedah telah menggubal semula undang-undang perkahwinan Islam yang memberikan perlindungan kepada kumpulan rentan dan lemah.

"Perkara yang sama diharap dapat diikuti di negeri-negeri lain agar permasalahan kahwin bawah umur ini dapat diselesaikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri berkata walaupun masih terdapat banyak ruang untuk ditambah baik dalam agenda pemerkasaan wanita, kerajaan sentiasa mengutamakan pemerkasaan golongan itu yang merupakan tonggak pembangunan negara.

Ismail Sabri berkata antara lain, sebelum ini kerajaan telah mengumumkan penubuhan Majlis Wanita Negara, Jawatankuasa Eksekutif Wanita Negara dan Jawatankuasa Kerja Wanita Negeri bagi memperkasa peranan wanita di peringkat Persekutuan dan Negeri.

"Kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM13 juta khusus untuk memperkasa Bahagian D11 Polis Diraja Malaysia bagi Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak, bagi memastikan kes-kes melibatkan jenayah seksual terhadap wanita dan kanak-kanak dapat diuruskan dengan lebih berkesan," katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan turut prihatin dalam memastikan mangsa-mangsa keganasan rumah tangga mendapat perlindungan segera dengan mewujudkan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) yang memberikan perkhidmatan psikososial kepada Keluarga Malaysia di seluruh negara.

Beliau berkata, sehingga Ogos 2022, seramai 591,000 kumpulan sasar terutama golongan wanita telah mendapatkan perkhidmatan PSSS iaitu sesi bimbingan dan kaunseling.

"Ini merupakan komitmen kerajaan terhadap golongan wanita Keluarga Malaysia yang diharap mendapat sokongan padu daripada semua pihak," katanya.

Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri dan Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) Prof Emeritus Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin. - Bernama