Bukti sistem kehakiman bebas campur tangan politik

Saifuddin mengadakan lawatan meninjau perkembangan SJKT Ladang Jeram di sini pada Rabu.
Saifuddin mengadakan lawatan meninjau perkembangan SJKT Ladang Jeram di sini pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan pertuduhan dan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes dana SRC International Sdn Bhd (SRC) membuktikan sistem kehakiman di negara ini bebas campur tangan politik.

Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, keputusan itu juga melegakan rakyat yang mahu sistem kehakiman di negara ini berjalan lancar tanpa campur tangan pihak luar agar keadilan dapat ditegakkan sebaik-baiknya.

Menurutnya, proses mahkamah dalam kes itu bebas dan telus tanpa cubaan campur tangan mana-mana pihak malah pihak kehakiman juga bertindak secara profesional sejak dari awal.

"Pada masa sama, keputusan itu juga dapat membantu memulihkan imej negara dan sistem kehakiman di peringkat antarabangsa.

"Dahulunya sistem kehakiman negara sering menerima tohmahan kerana dianggap tidak bebas oleh negara-negara luar," ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Jeram di sini, pada Rabu.

Saifuddin yang juga Menteri Luar berkata, reaksi daripada rakan-rakan dan media antarabangsa berhubung keputusan itu cukup positif.

"Pada pandangan mereka sudah berlaku pembaharuan tranformasi dalam sistem kehakiman di negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Perkembangan ini juga penting dalam aspek ekonomi dan perdagangan kerana kebebasan sistem kehakiman antara faktor yang dinilai pelabur asing untuk melabur negara ini," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bagi Bersatu, keputusan Mahkamah Persekutuan membantu menyuntik semangat ahli parti itu untuk meneruskan agenda menegakkan integriti, hapuskan rasuah dan menamatkan politik wang di negara ini.

"Situasi yang berlaku di Mahkamah Persekutuan semalam dilihat sebagai satu kejayaan kepada perjuangan menegakkan agenda tersebut.

"Jelas ia berpihak kepada kebenaran berasaskan fakta dan bukan cerita politik kosong.

"Ia suatu tanda yang sangat signifikan bahawa semua pihak tidak boleh jemu dan takut untuk tegakkan kebenaran, hapuskan rasuah dan menegakkan integriti," katanya.