Platform media kongsi perkembangan terkini

Persidangan Media Malaysia 2022 yang diadakan di sebuah hotel, di sini, pada Rabu membabitkan penyertaan hampir 160 wakil pemilik syarikat media di Malaysia.
Persidangan Media Malaysia 2022 yang diadakan di sebuah hotel, di sini, pada Rabu membabitkan penyertaan hampir 160 wakil pemilik syarikat media di Malaysia.
A
A
A

PETALING JAYA - Marketing Magazine Malaysia kembali menganjurkan Persidangan Media Malaysia pada tahun ini untuk menyediakan platform kepada pemain industri di dalam negara membincangkan perkembangan terkini berlaku dalam sektor berkenaan.

Pengasas yang Ketua Pegawai Eksekutif Marketing Magazine Malaysia, Professor Harmandar Singh, acara tahunan yang sudah diadakan buat kali Ke-16 itu membabitkan penyertaan lebih kurang 160 wakil pemilik syarikat media di Malaysia.

Katanya, peserta yang hadir pada kali ini meliputi hampir kesemua segmen dalam industri termasuk syarikat media digital.

“Persidangan ini diadakan bagi membolehkan semua pemain industri berkongsikan perkembangan terbaharu dalam industri selain turut menjadi platform yang menghubungkan syarikat-syarikat media di dalam negara,” katanya ditemui Sinar Harian di acara tersebut yang diadakan di sebuah hotel, di sini pada Rabu.

Persidangan Media Malaysia 2022 yang diadakan selama sehari bermula 9 pagi hingga 6 petang itu membabitkan sesi perkongsian daripada lapan wakil pemain industri media dan dua siri perbincangan melibatkan 11 orang panelis.

Antara isu dibincangkan dalam acara berkenaan adalah mengenai cabaran semasa industri media, perubahan tingkah laku pengguna dan masa depan media di Malaysia.

Acara itu turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada syarikat perunding serta penyedia teknologi media seperti Moving Walls, Meltwater, Netcore Solution, Zoomer Media, Malaysian Digital Association dan RUP Sdn Bhd.

Harmandar berkata tema untuk persidangan kali ini iaitu ‘Reset, Recharge, Reconnect’ dipilih dengan mengambil kira scenario semasa industri media yang ketika ini berada dalam proses pasca pandemik.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Harmandar berkata, syarikat media di dalam negara dilihat semakin meningkat khususnya di platform digital.

“Ini kerana komunikasi utama pengguna memang sudah beralih ke platform digital. Malah sebagai contoh, pengiklanan di kawasan terbuka kini juga sudah bertukar kepada digital,” ujar beliau.

Pada masa sama, beliau berkata, landskap media ketika ini juga dilihat sudah kembali pulih dan semakin aktif dengan beberapa perubahan positif dilihat sudah berlaku khususnya membabitkan budaya kerja dan kepakaran.