Tenang menanti pengganti Maloney

Brad Maloney
Brad Maloney
A
A
A

INDIVIDU yang mengisi posisi pengendali skuad Harimau Muda Bawah 23 Tahun (B-23) negara akan diumumkan dalam masa terdekat selepas ketua jurulatih sebelum ini Brad Maloney dilepaskan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) secara persetujuan bersama kedua-dua pihak pada Julai lalu.

Perkhabaran gembira ini tentu sahaja akan menyemarakkan semula semangat dalam kalangan pemain skuad B-23 negara selepas terpahit memori pahit tersingkir di Sukan SEA Hanoi 2021 pada Mei lalu selain aksi kurang memberangsangkan dalam kejuaraan Piala Asia B-23 2022 pada Jun lepas.

Biarpun Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar, masih berteka-teki status sama ada pengendali dari dalam atau luar negara, namun memberi bayangan pengganti Maloney tersebut akan bekerjasama dengan ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon.

“Pada ketika ini masih terdapat beberapa prosedur yang perlu diselesaikan dan pengumuman rasmi mengenai pelantikan itu akan diumumkan pada minggu ini.

“Keputusan telah dibuat secara tidak langsung kita berada di peringkat akhir selepas meneliti senarai calon dalam dan luar negara yang ramai,” katanya.

Kejayaan Pan-gon yang mengakhiri penantian Malaysia sejak edisi Kuwait 1980 untuk memenangi slot pusingan akhir Piala Asia 2023 secara merit selepas mengalahkan Bangladesh 4-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 14 Jun lalu membuktikan model dibawa pengendali dari Korea Selatan itu perlu diterapkan dalam lapisan skuad Harimau Muda negara.

Pendekatan Pan-gon dan barisan kejurulatihannya membawa perkhabaran gembira kepada komuniti bola sepak Malaysia yang dahagakan penampilan skuad negara di pentas tertinggi bola sepak Asia seharusnya dijadikan model terbaik dalam menjayakan transformasi bola sepak negara.

Era bola sepak moden menuntut perubahan lebih menyeluruh dalam aspek pembangunan pemain muda negara yang menjadi pelengkap rantaian pembekalan pelapis kepada ekosistem itu sendiri seperti yang telah berkembang di Thailand dan Vietnam sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Artikel Berkaitan:

Barisan kejurulatihan setiap tahap Harimau Muda negara perlu disediakan dengan pasukan yang lengkap sama seperti Harimau Malaya pada masa ini yang berjaya mengakhiri kemarau kali terakhir beraksi dalam Piala Asia adalah ketika menjadi tuan rumah pada 2007.

Paling penting pemilihan pengendali dan barisan kejurulatihan baharu Harimau Muda B-23 perlu dipastikan mempunyai hubungan harmoni dengan Harimau Malaya yang sudah pastinya sememangnya memerlukan pembekalan pemain yang mengikuti acuan skuad senior.

Sememangnya perlu wujud kesinambungan yang mantap dalam rantaian pembangunan bola sepak negara sekiranya kita tidak mahu hanya berpuas hati sekadar layak ke pusingan akhir temasya berprestij bola sepak Asia tersebut.

Sekiranya dilihat sebelum ini tidak wujud kesinambungan yang memudahkan pemain Harimau Muda mengikuti acuan Harimau Malaya apabila melangkah masuk ke skuad senior walaupun secara umum komuniti bola sepak negara memiliki pool pemain yang besar.

Jurulatih tempatan

Pakej lengkap barisan kejurulatihan Harimau Muda B-23 ini diharapkan akan menjadi satu lembaran baharu dalam mewujudkan pasukan pasukan pelapis yang tidak hanya lengkap tetapi juga kompetitif bersaing di peringkat lebih tinggi.

Penglibatan jurulatih tempatan dalam barisan kejurulatihan B-23 negara juga perlu diberikan perhatian badan induk bola sepak negara bagi memastikan pengalaman dalam kalangan pengendali tempatan dapat disumbangkan dalam memacu pembangunan sukan paling popular dunia tersebut.

Liga Malaysia (Liga-M) sebelum ini telah melahirkan ramai pengendali tempatan yang berwibawa khasnya dalam membentuk para pemain pelapis untuk pasukan atau kelab masing-masing antaranya seperti Nafuzi Zain (Terengganu FC), Yusri Che Lah (Perak FC) dan Nidzam Jamil (Selangor FC).

Kehadiran Pan-gon dan barisan kejurulatihannya telah membuka satu dimensi dan tanda aras baharu kepada bola sepak negara apabila berjaya mara ke pusingan akhir Piala Asia, perkembangan positif ini juga seharusnya dilibatkan dengan skuad B-23 dan skuad pelapis negara selepas ini.

Ini penting sebagai strategi jangka panjang komprehensif membentuk skuad Harimau Malaya yang kompetitif dan berdaya saing.

* Zuraimee Zainal ialah Penolong Editor Sukan Sinar.