Peranan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi tidak terhad

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KANGAR - Peranan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi tidak terhad kepada isu kenaikan harga barang, sebaliknya ia lebih luas dan melibatkan usaha mengatasi masalah inflasi secara keseluruhan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, penubuhan jawatankuasa itu merupakan langkah proaktif kerajaan setelah mendapat gambaran menyeluruh situasi yang berlaku di kebanyakan negara di dunia yang menghadapi masalah tersebut.

"Kita perlu mengambil tindakan awal bagi membantu rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dari sudut kos sara hidup,” katanya pada sidang media sempena perasmian Kompleks Penyiaran Tuanku Syed Putra di sini pada Selasa.

Beliau berkata, sebagai permulaan jawatankuasa itu telah memberi tumpuan kepada usaha menangani isu kenaikan harga barang tertentu seperti ayam dan minyak masak.

"Untuk berikutnya jawatankuasa ini akan melihat perkara-perkara lain yang terikat kepada masalah inflasi,” katanya yang turut berterima kasih kepada pihak industri atas kerjasama mereka mengikut syor jawatankuasa itu dalam menangani isu kenaikan harga barang.

Selain itu, beliau berkata, pada ketika ini jawatankuasa berkenaan berpendirian tidak boleh membenarkan eksport ayam selagi bekalan dalam negara tidak stabil dan keperluan domestik dipastikan terjamin terlebih dahulu.

"Kita akan membuat penilaian berapa keperluan domestik terlebih dahulu, pada ketika ini keperluan dalam negara adalah 69 juta metrik tan sebulan atau kira-kira dua juta metrik tan sehari.

"Jika pengeluaran ayam berada pada tahap kira-kira 70 juta metrik tan sebulan dan ke bawah, maka kita masih tidak boleh eksport,” katanya.

Terdahulu, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan serta menamakan kompleks penyiaran baharu Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Perlis sebagai Kompleks Penyiaran Tuanku Syed Putra.

Artikel Berkaitan:

Berangkat sama Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Mohammad Mentek, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dan barisan Exco kerajaan negeri. - Bernama.