Bekas guru didenda RM3,800 cedera pelajar guna penggelek cat

Tertuduh (kanan) dilihat keluar dari perkarangan mahkamah bersama peguamnya setelah selesai membayar denda.
Tertuduh (kanan) dilihat keluar dari perkarangan mahkamah bersama peguamnya setelah selesai membayar denda.
A
A
A

REMBAU - Seorang bekas guru dijatuhi hukuman denda RM3,800 oleh Mahkamah Majistret Rembau pada Selasa atas pertuduhan mencederakan seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun menggunakan penggelek cat.

Majistret Kartini Kasran menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap tertuduh Siow Chu Lee, 44, sebaik dia membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan cedera kepada seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun di telinga dan bahu bahagian kiri dengan menggunakan penggelek cat yang merupakan suatu alat yang jika digunakan sebagai senjata untuk menyerang mungkin menyebabkan kematian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi Dewan Agora Rembau dalam Daerah Rembau pada 20 Jun lepas lebih kurang jam 2.10 petang.

Oleh yang demikian, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan [ Akta 574] yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau dengan denda, atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman hukuman itu jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng manakala tertuduh diwakili peguam Jayaprakash Rao.

Dalam pada itu, peguam tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman denda ringan dengan mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh selain telah membuat permohonan maaf kepada semua pihak yang terlibat.

Malah menurutnya, tertuduh telah menjaga anak angkatnya sejak dari bayi dan kejadian buli mangsa ke atas anak angkatnya itu telah berlaku beberapa kali.

Artikel Berkaitan:

Tsu Sheng bagaimanapun memohon hukuman maksima dengan mengambil kira usia mangsa dan tertuduh merupakan orang dewasa yang waras serta bekas guru perlu menunjukkan contoh yang terbaik terutamanya kepada individu yang bawah umur.

Majistret dalam penghakimannya menyatakan mahkamah mengambil berat ke atas mangsa berdasarkan umurnya yang baru 13 tahun serta menasihatkan sebagai ibu bapa perlu menunjukkan contoh terbaik kepada kanak-kanak.

Majistret kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM3,800 sekiranya gagal bayar dikenakan 10 bulan penjara.