Selangor tarik minat Turkiye melabur dalam bidang aeroangkasa

Amirudin (tengah) ketika melawat Turkish Airlines Training Centre di Istanbul.
Amirudin (tengah) ketika melawat Turkish Airlines Training Centre di Istanbul.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor berjaya menarik minat sebuah syarikat penyedia utama simulator dan kawalan trafik udara (ATC), APA Bilgi Teknolojileri dari Turikye dengan menubuhkan Pusat Latihan Simulator Pesawat Moden.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, hubungan tersebut terjalin dengan kerjasama HM Aerospace ketika syarikat berkenaan menyertai Selangor Aviation Show 2021 pada Oktober tahun lalu.

Menurutnya, komitmen tersebut turut dizahirkan oleh delegasi kerajaan Selangor yang berkunjung ke Turkiye bagi meneroka peluang pelaburan serta kolaboratif dalam beberapa industri utama.

"Komitmen ini diperkukuhkan melalui visi terangkum dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang menunjukkan kesalinghubungan antara industri aeroangkasa dan TVET sangat akrab.

"Ini terzahir dalam lawatan ke APA Bilgi Teknolojileri di Ankara yang berjaya mencapai beberapa kata sepakat dalam mengembangkan prospek industri aeroangkasa di Selangor," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, agenda Klusterisasi Selangor menyaksikan potensi Sepang dan Subang sebagai dua hab utama industri aeroangkasa di negeri berkenaan.

Kata Amirudin, ia dibuktikan dengan sejumlah 65 peratus daripada keseluruhan sektor aeroangkasa Malaysia beroperasi di Selangor pada masa ini.

"Insya-ALLAH, sesuatu akan terhasil di Selangor melalui kerjasama ini kelak," katanya.

Artikel Berkaitan: