PH Sabah terbuka kerjasama dengan Muda

Christina Liew
Christina Liew
A
A
A

KOTA KINABALU - PH Sabah terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Christina Liew berkata, PH Sabah bersedia untuk duduk berbincang dengan mana-mana parti politik pembangkang termasuk mengenai pembahagian kerusi bagi memastikan PH memenangi lebih banyak kerusi Parlimen pada PRU15.

Katanya lagi, komponen dalam PH di peringkat negeri setakat ini bekerja dengan cukup baik.

"Perpaduan dalam kalangan parti pembangkang sangat penting, termasuklah dengan Muda.

"Saya percaya, kami mampu bekerjasama dengan semua komponen parti dalam PH Sabah bagi menghadapi PRU15, begitu juga dengan Muda. Ini termasuk soal pembahagian kerusi," katanya selepas melakukan tinjauan mesra di Jalan Gaya, pada Isnin.

Menurut Ahli Parlimen Tawau itu lagi, hanya melalui kerjasama yang padu sahaja mereka boleh mempunyai peluang besar untuk menang lebih banyak kerusi pada PRU-15.

"Sekiranya berpecah, sasaran memenangi lebih banyak kerusi tidak mampu dicapai.

"Pembahagian kerusi di Sabah tidak akan menjadi masalah kepada komponen PH," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, parti tempatan mahupun parti nasional tidak harus menjadi isu kerana pada akhirnya kerjasama dengan kerajaan Persekutuan tetap diperlukan bagi mendapatkan peruntukan kewangan.

Sebelum itu, beliau memaklumkan telah mengadakan mesyuarat dengan pimpinan Muda baru-baru ini.