UPM juara keseluruhan SUKIPT 2022

Kontinjen UPM meraikan kejayaan sebagai juara keseluruhan SUKIPT 2022.
Kontinjen UPM meraikan kejayaan sebagai juara keseluruhan SUKIPT 2022.
A
A
A

KONTINJEN Universiti Putra Malaysia (UPM) menutup tirai Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2022 yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan status juara keseluruhan temasya itu pada Ahad.

Kejayaan meraih 38 pingat emas, 19 perak dan 20 gangsa membolehkan UPM mengulangi pencapaian bergelar juara edisi SUKIPT 2018 yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum ini.

Meskipun berjaya menyamai kejayaan pada edisi SUKIPT 2018, kontinjen UPM bagaimanapun gagal menyaingi pencapaian meraih 44 pingat emas untuk bergelar juara keseluruhan.

Untuk rekod, kem olahraga menjadi penyumbang terbesar pingat UPM dengan jumlah 19 pingat emas keseluruhan daripada 37 pingat emas yang dipertandingkan dalam acara tersebut.

Sementara itu, Ketua Kontinjen UPM, Profesor Madya Dr Tajularipin Sulaiman mengakui berbangga dengan pencapaian yang diraih para atlet universiti tersebut walaupun terdapat beberapa acara sukan disasarkan tidak menyumbang pingat emas.

“Secara keseluruhannya, pihak akademi sukan UPM amat berbangga dengan pencapaian para atlet UPM dalam temasya SUKIPT 2022 kali ini.

“Saya amat berpuas hati dengan pencapaian kontinjen UPM kali ini walaupun ada beberapa acara sukan yang disasarkan tidak dapat memberikan kilauan emas. Bagaimana pun saya lihat para atlet telah berjuang dengan penuh semangat sepanjang temasya ini,” katanya.

Beliau turut mengumumkan para atlet UPM yang meraih pingat emas di SUKIPT 2022 bakal menerima ganjaran yang akan diberitahu kelak.

Artikel Berkaitan:

“Atlet yang berjaya dan telah mengharumkan nama universiti akan kami raikan dalam majlis apresiasi dan insentif sukan yang akan diumumkan pihak universiti dalam masa terdekat,” ujarnya.

Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula menamatkan temasya kali ini di kedudukan kedua dengan mengumpul 19 emas 18 perak dan 33 gangsa.

Sementara IPT swasta, Sunway University mencuri tumpuan apabila menduduki tangga ketiga keseluruhan dengan meraih 15 pingat emas, 18 perak, 33 gangsa.