Kakitangan hospital maut kemalangan

Seorang wanita yang merupakan kakitangan sebuah hospital kerajaan maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 86.5 Jalan Kota Tinggi-Kluang, Kluang, pada Ahad.
Seorang wanita yang merupakan kakitangan sebuah hospital kerajaan maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 86.5 Jalan Kota Tinggi-Kluang, Kluang, pada Ahad.
A
A
A

KLUANG - Seorang kakitangan Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini, maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 86.5 Jalan Kota Tinggi-Kluang dekat sini pada Ahad.

Kemalangan pada jam 5 petang itu mengakibatkan mangsa, Noorazimah Ismail, 40, yang juga isteri kepada seorang pegawai bomba di sini maut.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan melibatkan kereta Proton Wira dan Perodua Myvi dipandu mangsa yang datang dari arah bertentangan.

"Kereta Proton Wira dipercayai masuk ke laluan Perodua Myvi dan merempuh bahagian hadapan kereta tersebut.

"Mangsa iaitu pemandu Myvi cedera parah dan meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital berkenaan akibat parah di bahagian kepala dan badan.

"Manakala pemandu Proton Wira itu yang berusia 40-an mengalami kecederaan di bahagian kepala dan muka dan serta masih dirawat di HEBHK," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang melalui talian 07-7784256, katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Noorhakim Nordin berkata, seramai sembilan anggota dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada jam 5 petang.

"Kedua-dua mangsa tersepit dan bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mereka.

"Mangsa diberikan rawatan awal oleh unit EMRS sebelumdiserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke hospital" katanya.