Lelaki kerja kampung didenda RM4,000 menyamar Raja Muda Perak

Mohammad Fadhil (tengah) diiringi pegawai polis untuk dituduh di Mahkamah Majistret Alor Setar pada Isnin.
Mohammad Fadhil (tengah) diiringi pegawai polis untuk dituduh di Mahkamah Majistret Alor Setar pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang lelaki yang melakukan kerja-kerja kampung didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah menyamar sebagai Raja Muda Perak di Pejabat Tuanku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Jun lalu.

Mohammad Fadhil Lope, 39, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Zulhilmi Latif selepas faham pertuduhan dan fakta kes yang dibacakan jurubahasa kepadanya di Mahkamah Majistret Alor Setar pada Isnin.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh cuba memperdayakan seorang petugas Kaunter Pejabat Tuanku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar dengan memperkenalkan diri sebagai Raja Muda Perak bagi membenarkannya berjumpa dengan Sultan Kedah pada 28 Jun lalu.

Petugas telah membuat semakan dengan Bahagian Protokol Dan Istiadat Negeri Perak serta mengesahkan tiada kerabat Diraja Perak Darul Ridzuan dengan nama kad pengenalan yang diberikan oleh tertuduh iaitu DYMM Raja Muda Perak Tuanku Tun Mamat Fadhil Duke Of Royal Malaysia British Bin DYTM Sheikh Tengku Lope Salleh Of Royal Irish Fusiller Princess Victoria.

Tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang boleh disabitkan penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Negeri, Asmaa' Zamri manakala tertuduh diwakili oleh peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhammad Syafiq Ahmad.

Dalam rayuan kepada tertuduh, Muhammad Syafiq berkata, kesalahan tersebut adalah pertama kali dilakukan oleh Mohammad Fadhil selain perlu menanggung seorang anak selepas bercerai termasuk ibu bapanya.

Mahkamah Majistret kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM4,000 dan jika gagal tertuduh yang memakai baju merah jambu dan berseluar hijau lumut diarahkan penjara selama 10 bulan.

Artikel Berkaitan: