Lelaki ditahan rosak Jalur Gemilang di ibu negara

Pelaku ditahan Jabatan Penguatkuasaan DBKL sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Pelaku ditahan Jabatan Penguatkuasaan DBKL sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Satu lagi kes merosakkan Jalur Gemilang berlaku di Brickfields di sini pada Ahad namun suspek berjaya ditahan untuk tindakan lanjut.

Berdasarkan gambar dikongsikan di Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), lelaki berkenaan didapati mencabut Jalur Gemilang di jejambat Jalan Syed Putra sebelum membuang bendera tersebut.

Bagaimanapun, DBKL memaklumkan, pelaku telah ditahan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Bendera di jejambat Jalan Syed Putra yang dicabut pelaku.
Bendera di jejambat Jalan Syed Putra yang dicabut pelaku.

"Kenapa Jalur Gemilang yang menjadi sasaran? Suspek telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," menurut perkongsian itu pada Isnin.

Ini adalah kejadian ketiga dilaporkan DBKL membabitkan Jalur Gemilang dirosakkan.

Kejadian pertama dilaporkan berlaku pada 6 Ogos di Jalan Sultan Ismail manakala kejadian kedua pada 17 Ogos di bangunan MITEC, Jalan Ampang membabitkan pelaku sama yang menggunting bendera tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima maklumat ada individu merosakkan bendera Jalur Gemilang pada jam 3.20 petang.

Artikel Berkaitan:

"Apabila anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) tiba di lokasi mendapati dua pegawai DBKL membuat aduan ke atas seorang lelaki kerana telah merosakkan Jalur Gemilang berhampiran lokasi berhampiran," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, anggota URB itu kemudian telah mendapatkan bantuan anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) membawa lelaki berkenaan ke Balai Polis Brickfields untuk dokumentasi.

"Lelaki tersebut telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk pemeriksaan kesihatan dan untuk dirujuk ke wad psikiatri," ujarnya.

Amihizam berkata, orang ramai dinasihatkan agar menyalurkan sebarang maklumat dengan serta merta berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang dengan menghubungi MERS 999 atau talian Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana balai polis berhampiran.