Kertas siasatan Hakim Mohd Nazlan tiada dengan AGC

Idrus ketika menghadiri Simposium Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, pada Ahad. - Foto Bernama
Idrus ketika menghadiri Simposium Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kertas siasatan mengenai kes membabitkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali tidak berada dengan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Perkara itu disahkan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun ketika ditemui pada Simposium Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, pada Ahad.

"(Kertas siasatan) tidak berada dengan kami. Saya tidak tahu. Ia tidak berada dengan kami," katanya seperti dilaporkan Malay Mail.

Pada Mei lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan kertas siasatan tersebut sudah diserahkan kepada pihak Jabatan Peguam Negara.

SPRM berkata, kertas siasatan itu diserahkan pada 18 Mei lalu selepas pihaknya melengkapkan siasatan mengenai dakwaan sumber kekayaan yang tidak dijelaskan membabitkan Mohd Nazlan.

Kertas siasatan itu dibuka susulan Mohd Nazlan membuat laporan polis menafikan tuduhan dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengenai dakwaan ada sejumlah wang yang tak dapat ditentukan punca dalam akaunnya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan itu adalah prosedur biasa selepas pihaknya menerima laporan secara rasmi.