Wujud Parlimen berpenggal tetap, hapus 'teka-teki' tarikh PRU

Pembubaran Parlimen di masa akan datang dicadang hanya dilakukan apabila penggal tamat iaitu selepas lima tahun, supaya PRU mempunyai tarikh tetap. Foto hiasan
Pembubaran Parlimen di masa akan datang dicadang hanya dilakukan apabila penggal tamat iaitu selepas lima tahun, supaya PRU mempunyai tarikh tetap. Foto hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Pembubaran Parlimen di masa akan datang dicadang hanya dilakukan apabila penggal tamat iaitu selepas lima tahun, supaya Pilihan Raya Umum (PRU) mempunyai tarikh tetap.

Penganalisis politik, Prof Wong Chin Huat berpendapat, selain memberi tarikh PRU yang lebih terjangka, Parlimen berpenggal tetap ini dilihat mampu memberi prospek lebih meyakinkan kepada pelabur asing, untuk melabur ke dalam negara.

"Bila PRU tiada tarikh tetap, ini menyusahkan rakyat di peringkat akar umbi, kalau anda seorang polis, cikgu penjawat awam, malah wartawan juga, tidak boleh rancang cuti untuk kenduri kahwin dan sebagainya.

"Ini pun menyusahkan menteri kerana tidak dapat buat perancangan jauh dan menyusahkan pelabur, kerana mereka tidak tahu bila kerajaan tukar,” katanya.

Pensyarah dari University Sunway itu berkata demikian ketika pembentangan bertajuk Kestabilan atas Musyuwarah, bukan Dominasi: Peranjakan Paradigma Politik dalam Keluarga Malaysia, sempena Simposium Keluarga Malaysia: Pencapaian dan Harapan di sini hari ini.

Chin Huat berkata, berbeza sebelum ini, di mana Perdana Menteri mempunyai budi bicara untuk memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi mengadakan PRU lebih awal sebelum tamat tempoh lima tahun, selepas ini, dicadangkan Parlimen hanya boleh dibubar di bawah dua keadaan.

"Apabila perdana menteri hilang kepercayaan dan jika dua pertiga ahli Parlimen mahukan pembubaran awal, maka dia (perdana menteri) boleh memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

"Jika tidak, biarkan Parlimen habis (lima tahun), ini juga bermaksud (dalam keadaan sekarang) kerajaan harus diberi peluang habiskan kerja sampai 15 Julai 2023,” katanya.

Sementara itu Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz dalam pembentangannya bertajuk Undang-Undang dan Kesejahteraan Keluarga Malaysia berkata, pencapaian pentadbiran kerajaan yang diketuai Ismail Sabri dalam konteks undang-undang adalah amat baik.

"Ini kerana pihak legislator (Ahli Parlimen), telah berjaya meluluskan lebih kurang 40 Rang Undang-Undang, termasuk beberapa undang-undang penting, tiga RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan, termasuk bagi membaikpulih hubungan dalam sebuah negara Persekutuan dan banyak pindaan Akta,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan menggubal undang-undang anti bertukar parti juga adalah satu lagi pencapaian besar, di bawah pentadbiran Ismail Sabri.

"Walaupun undang-undang ini belum lagi pasti berjaya menghalang perubahan kerajaan pada masa akan datang, namun sekurang-kurangnya ia dapat ‘menyukarkan’ perkara ini untuk berlaku,” katanya. - Bernama