Inspirasi setahun: Ismail Sabri mahukan yang terbaik untuk rakyat

Ismail Sabri melambaikan tangan kepada para hadirin ketika tiba di Stadium Shah Alam bagi merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia pada Jumaat. - Foto Bernama
Ismail Sabri melambaikan tangan kepada para hadirin ketika tiba di Stadium Shah Alam bagi merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mengorak selangkah memasuki tahun kedua sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahukan yang terbaik untuk rakyat.

Beliau berkata, masih banyak perkara yang perlu dilakukan demi kepentingan dan kebajikan Keluarga Malaysia termasuk dari aspek pendidikan.

"Sebagai Perdana Menteri, saya nak yang terbaik untuk rakyat. Banyak lagi kebajikan untuk rakyat dapat kita lakukan. Banyak lagi dasar baharu yang perlu kita buat, contohnya dari segi pendidikan.

"Harapan saya kita dapat mengorak ke depan dengan lebih baik untuk beri kebajikan yang lebih baik kepada rakyat,” katanya dalam sesi temu bual Inspirasi Setahun Bersama Perdana Menteri yang disiarkan di stesen televisyen tempatan termasuk Bernama TV hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai harapan beliau untuk tahun kedua di bawah kepimpinannya.

Esok, genap setahun Ismail Sabri, 62, menerajui kerajaan Keluarga Malaysia.

Pada 21 Ogos tahun lepas, beliau mengambil alih jawatan nombor satu negara selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai penglibatan anak muda dalam politik, Ismail Sabri berkata, sebagai bekas pemimpin pelajar, beliau memahami perjuangan ideal golongan itu dan percaya idealisme mereka tidak perlu disekat sebaliknya dihargai serta diterima.

"Orang muda pemikiran mereka tidak boleh dikawal dan kita tidak boleh memaksa apa yang kita nak kepada orang muda.

"Kita mesti beri ruang kebebasan kepada mereka untuk berfikir dan memberi pandangan,” katanya. - Bernama