Padah tidak guna laluan motosikal

Fisol (dua dari kanan) sedang memeriksa motosikal curi yang disita daripada suspek.
Fisol (dua dari kanan) sedang memeriksa motosikal curi yang disita daripada suspek.
A
A
A

BALIK PULAU - Lagak mencurigakan tiga remaja yang sedang menunggang dua motosikal akhirnya mengundang padah apabila mereka ditahan polis di Kilometer 12 Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah pada jam 4 petang, Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, tiga remaja berusia 13, 16 dan 17 tahun itu ditahan ketika dalam perjalanan pulang ke negeri ini dari Batu Gajah, Perak.

Fisol berkata, mereka ditahan selepas didapati tidak menggunakan laluan motosikal ketika melalui jambatan kedua itu.

Menurutnya, selepas ditahan, pemeriksaan mendapati salah sebuah motosikal tersebut merupakan motosikal curi yang dilaporkan hilang di Teluk Kumbar, Bayan Lepas pada 3 Julai lalu.

"Motosikal tersebut ditunggang oleh seorang remaja berusia 17 tahun yang masih bersekolah. Dia yang tidak mempunyai lesen memandu turut membonceng seorang remaja berusia 13 tahun yang masih bersekolah.

"Pemeriksaan pada motosikal curi itu juga mendapati ia menggunakan nombor plat palsu. Sementara itu, rakannya yang berusia 16 tahun dan sudah tidak bersekolah menunggang sebuah lagi motosikal miliknya sendiri serta memiliki lesen memandu.

"Bagaimanapun, polis mengeluarkan empat saman ke atas motosikal tersebut kerana beberapa kesalahan termasuk mengubahsuai motosikal yang tidak mengikut spesifikasi yang dibenarkan," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di sini pada Sabtu.

Fisol menambah, polis menyita kedua-dua motosikal tersebut untuk siasatan lanjut.

"Salah seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah iaitu mencuri dan memiliki motosikal curi. Bagaimanapun, ujian saringan air kencing mereka yang berasal dari Balik Pulau itu negatif dadah.

"Suspek pertama iaitu yang berusia 17 tahun direman empat hari, manakala dua lagi dibebaskan dengan jaminan polis.

"Saya menasihati ibu bapa agar memantau pergerakan anak-anak mereka terutamanya di bawah 18 tahun kerana ibu bapa juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian kanak-kanak di bawah umur," katanya.