Naik taraf Pasir Gudang, Pengerang sebagai daerah baharu

Hasni menunjukkan plak 48 tahun konvensyen BN yang disampaikan Mohamad selepas perjumpaan Jentera BN Johor di Hotel Opero, Johor Bahru, pada Jumaat.
Hasni menunjukkan plak 48 tahun konvensyen BN yang disampaikan Mohamad selepas perjumpaan Jentera BN Johor di Hotel Opero, Johor Bahru, pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Barisan Nasional (BN) Johor mencadangkan kerajaan negeri mempertimbang untuk mengiktiraf Parlimen Pasir Gudang dan Pengerang sebagai daerah baharu di negeri ini.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, cadangan itu merupakan antara usaha untuk melakukan reformasi politik malah pernah disenaraikan dalam manifesto atau Ikhtiar BN semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu.

"Dua kawasan berkenaan sudah menepati kriteria yang diperlukan untuk menjadi sebuah daerah sendiri. Pertambahan daerah ini ada dalam Ikhtiar BN apabila kita sebut tentang reformasi politik.

"Ini kerana kita dapat lihat di kawasan berkenaan berlaku penambahan pengundi yang ketara, jadi salah satu cara untuk beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat adalah dengan mengiktiraf kawasan tersebut sebagai sebuah daerah.

"Saya ingin cadangkan pada Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi) dan juga kerajaan Pusat agar dapat mempertimbangkan dua kawasan ini dapat dijadikan daerah, Pasir Gudang dan Pengerang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan Jentera BN Johor, di Hotel Opero, di sini pada Jumaat.

Turut hadir Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MIC, Datuk M Asojan dan Onn Hafiz.

Hasni yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, cadangan itu memandangkan naratifnya di kawasan tersebut mendapat pelaburan besar daripada Petronas dan juga syarikat swasta lain.

"Jadi saya kira itu merupakan dua kawasan yang harus kita bangunkan. Namun terdapat beberapa perkara sensitif yang perlu diambil kira sebelum inisiatif berkenaan dapat diiktiraf dan langkah berkenaan juga tidak melibatkan persempadanan semula Parlimen sedia ada," katanya.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri akan mempertimbangkan dan perhalusi cadangan berkenaan yang disifatkan sebagai baik daripada parti.

"Namun dalam mewujudkan daerah baharu, ada beberapa perkara sensitif yang kita perlu perhalusi dan berbincang dengan pelbagai pihak, jika ianya boleh dilaksanakan Insya-ALLAH akan dilaksanakan," katanya.

Ketika ini, terdapat 10 daerah dalam negeri Johor iaitu Johor Bahru, Pontian, Batu Pahat, Kota Tinggi, Mersing, Kulai, Segamat, Tangkak, Kluang dan Muar.