Mayat nelayan jatuh ke laut ditemui

Mayat Heng Kai San dibawa ke Jeti PPM Teluk Gading sebelum dihantar ke Hospital Rompin untuk tindakan selanjutnya.
Mayat Heng Kai San dibawa ke Jeti PPM Teluk Gading sebelum dihantar ke Hospital Rompin untuk tindakan selanjutnya.
A
A
A

KUANTAN - Seorang kru bot nelayan tempatan yang dilaporkan hilang disyaki terjatuh ke laut di perairan Pulau Layak, Rompin, Rabu lalu ditemui mati lemas, pada Jumaat.

Mayat Heng Kai San, 48 ditemui nelayan tempatan kira-kira jam 9.06 pagi di lokasi kira-kira 8.4 batu nautika timur laut Kuala Endau.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, mayat mangsa dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Teluk Gading sebelum dihantar ke Hospital Rompin untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, operasi carilamat mangsa ditamatkan jam 10.30 pagi.

"Mangsa disedari hilang kira-kira jam 8.30 pagi ketika bot dinaiki dalam perjalanan pulang pada kedudukan sekitar 2.2 batu nautika timur laut Kuala Endau, dua hari lalu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

"Susulan kehilangan kru bot itu, Maritim Malaysia menyalurkan maklumat kepada Pusat Sub Menyelamat Maritim (MRSC) Johor dan aset udara bagi mendapatkan bantuan.

"Keluasan sektor pencarian sasaran merangkumi 27.84 batu nautika persegi. Maklumat kejadian ini turut disalurkan kepada komuniti nelayan tempatan dan beberapa rakan agensi untuk bantuan sebelum mayat mangsa berjaya ditemui pagi hari ini (Jumaat)," katanya.