United pikat Casemiro RM1.86 juta seminggu

PENGARAH bola sepak Manchester United, John Murtough dalam proses melengkapkan perjanjian dengan pemain Real Madrid, Casemiro yang mencecah nilai £60 juta (RM320.22 juta).
Kelab yang berpangkalan di Old Trafford itu berharap perjanjian dapat dicapai sebelum pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Liverpool Selasa ini.
Sekiranya termeterai perjanjian itu, Casemiro akan menerima gaji sekali ganda lebih tinggi menerusi kontrak empat tahun dan dibayar £350,000 (RM1.86 juta) seminggu.
Hanya Cristiano Ronaldo dengan gaji £480,000 (RM2.56 juta) seminggu serta penjaga gol David de Gea yang dibayar £375,000 (RM2 juta) seminggu mendapat bayaran lebih banyak.
Kehadiran pemain tengah pertahanan itu pastinya memberi tonik tambahan buat The Red Devils yang kini menghuni dasar liga selepas dua kekalahan pada aksi pembukaan.
Pembelian United pada musim panas ini mengundang kritikan dengan hanya tiga pemain tiba di kelab itu iaitu pertahanan kiri, Tyrell Malacia; pertahanan tengah, Lisandro Martinez dan pemain tengah, Christian Eriksen.
Casemiro sudah berada di Real Madrid hampir sedekad selepas berhijrah dari Sao Paulo pada 2013.
Pemain kesebelasan utama berusia 30 tahun itu sudah menang lima kali trofi Liga Juara-Juara, tiga La Liga dan tiga Piala Dunia Kelab.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
