Negara perlu pusat sehenti urus harta disita, dilucut hak

Wan Junaidi - Foto Bernama
Wan Junaidi - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Negara memerlukan sebuah pusat sehenti bagi menguruskan harta yang disita dan dilucut hak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, menyedari keperluan itu, kerajaan akan mengambil langkah strategik dan holistik dengan mewujudkan suatu sistem data mengenai harta yang disita dan dilucut hak yang komprehensif.

Langkah tersebut katanya, bagi memastikan keberkesanan dan kecekapan penguatkuasaan undang-undang untuk menangani jenayah kewangan dan mengekang ketirisan.

Menurut beliau, perkara tersebut antara cadangan dalam Kertas Dasar Pengurusan Harta yang Disita dan Dilucut Hak yang dibentangkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu lalu bagi membolehkan proses penggubalan rang undang-undang pindaan dimulakan oleh Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

“Adalah didapati negara-negara yang mempunyai sistem pengurusan harta berpusat dapat menguruskan harta dengan lebih efektif dan efisien, memberi nilai tambah serta mendatangkan keberhasilan kepada negara,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, termasuk dalam cadangan tersebut adalah kebenaran NFCC menguruskan harta yang disita dan dilucut hak bagi pihak kerajaan.

“Proses penggubalan rang undang-undang pindaan akan melibatkan pindaan kepada Akta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional 2019 [Akta 822] dan pindaan berbangkit kepada 26 akta yang dikawal selia oleh lapan kementerian dan jabatan,” katanya

Jelasnya, satu jawatankuasa mengenai hal tersebut telah dibentuk bagi memperincikan peruntukan-peruntukan yang akan memberi kuasa kepada agensi berkenaan dalam menguruskan harta yang disita dan dilucut hak bagi pihak kerajaan.

“Melalui dasar ini, agensi penguatkuasa dapat lebih memfokuskan kepada tindakan pelaksanaan siasatan dan penguatkuasaan,” katanya.

Tambah beliau, melalui penggubalan tersebut dapat membantu segala pengendalian mengenai harta di bawah satu agensi yang berpusat.

“Amat penting juga, pelaksanaannya kelak akan memberi manfaat kepada semua pihak dalam sistem keadilan jenayah,” katanya.